suria

ASNB Umum Agihan Pendapatan 6.30 Sen Untuk ASD, 3.45 Sen Untuk ASN 2

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bersama Timbalan Presiden Ketua Operasi Kumpulan Pengurusan Aset PNB Datuk Idris Kechot (kanan) menunjukan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit bagi Amanah Saham Didik (ASD) manakala pemegang Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) 3.45 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2016 di Menara PNB pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 6.30 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) dan 3.45 sen seunit untuk Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2016.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, agihan pendapatan untuk ASD melibatkan pembayaran RM329.12 juta yang akan memanfaatkan 307,784 pemegang unit yang melanggan 5.23 bilion unit.

Untuk ASN 2, ASNB memperuntukkan RM50.09 juta yang akan memanfaatkan 22,570 pemegang unit yang melanggan 1.45 bilion unit, katanya.

"Sehingga Jun 24 2016, dana ASD mencatat pendapatan kasar RM428.42 juta.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM240.58 juta manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat menyumbang RM115.39 juta.

"Selebihnya sebanyak RM72.46 juta diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain," katanya pada taklimat media selepas mengumumkan pengagihan pendapatan itu di sini, Isnin.

Untuk ASN 2, Ahmad Sarji berkata, ASN 2 berjaya mencatat jualan bersih walaupun prestasi pasaran saham adalah negatif.

Sehingga 24 Jun tahun ini, ASN 2 mencatat pendapatan kasar RM48.75 juta di mana RM23.49 juta diperolehi daripada dividen pelaburan dalam syarikat, jualan saham (RM19.31 juta) dan pendapatan lain (RM5.95 juta), katanya.

Ahmad Sarji berkata, pengagihan pendapatan itu diumumkan dalam suasana pasaran saham domestik dan ekonomi global yang mencabar dan dipengaruhi sentimen negatif dan langkah berjaga-jaga pelabur.

Antaranya kelembapan ekonomi China selaku ekonomi kedua terbesar dunia, kemerosotan harga komoditi dan nilai ringgit, dasar kewangan global yang tidak setara di mana terdapat kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan kadar faedah negatif di Eropah dan Jepun serta pemilihan presiden AS.

"Unjuran pertumbuhan ekonomi global yang rendah serta sentimen pelaburan yang negatif juga menjejaskan pendapatan korporat yang mengakibatkan harga saham serta pulangan dividen yang lebih rendah daripada syarikat tersenarai.

"Kebimbangan pelabur terhadap pungutan suara untuk menentukan sama ada Britain keluar daripada Kesatuan Eropah pada 23 Jun 2016 juga telah menambah ketidaktentuan kepada pasaran saham tempatan dan global.

"Justeru pasaran saham di seluruh dunia menurun secara mendadak pada 24 Jun 2016. Ia juga menyebabkan FBM KLCI turut jatuh sebanyak 5.93 mata manakala nilai mata wang ringgit susut 1.8 peratus kepada paras RM4.0900 sedolar," katanya.

Menurutnya, FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatat penurunan sebanyak 4.3 peratus daripada 1,706.64 mata yang dicatat pada 30 Jun 2015 kepada 1,634.05 mata pada 24 Jun tahun ini.

Beliau berkata, FBM KLCI mengalami penurunan dua tahun berturut-turut setelah merekodkan pulangan sebanyak -9.4 peratus bagi tahun kewangan 2015.

Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Julai 2016.

Bagi ASN 2, unit yang dikreditkan adalah berdasarkan nilai aset bersih seunit pada 30 Jun 2016.

Sementara itu, bagi pelanggan unit ASD dan ASN 2 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP mereka.

ASNB

Artikel Lain