suria

Pos Malaysia Labur Lebih RM100 Juta Buka Cawangan Baharu Pos Laju

BANGI: Pos Malaysia Bhd akan melabur lebih RM100 juta bagi membuka 13 cawangan baharu Pos Laju, kebanyakannya di Lembah Klang dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata ia adalah tambahan kepada 68 cawangan Pos Laju ketika ini.

"Kami merancang untuk mengenal pasti cawangan yang terletak dalam premis sewaan dan meninjau bangunan baharu yang boleh dibeli untuk memulakan operasi di situ," katanya kepada pemberita selepas pelancaran semula Pusat Pos Laju di sini, Jumaat.

Penyedia perkhidmatan pos itu turut memperkenalkan kemudahan EziBox dan perkhidmatan penerimaan bungkusan Dropbox Prabayar Pos Laju di Pusat Pos Laju Bangi dalam usaha memanfaatkan aliran e-dagang ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shukrie berkata perkhidmatan baharu itu akan membolehkan pelanggan menghantar bungkusan prabayar tanpa perlu beratur di pejabat pos dan cawangan Pos Laju.

Ini katanya, akan membantu Pos Laju mempertingkatkan perkhidmatan kaunternya.

Perkhidmatan Dropbox Prabayar itu menjadi alternatif bagi orang ramai  meletakkan bungkusan mereka di mesin layan diri automatik secara selamat dan mudah di sekitar Lembah Klang.

Bagi perancangan masa depan, Mohd Shukrie berkata Pos Laju menyasarkan untuk menempatkan 40 unit kemudahan perkhidmatan Dropbox Prabayar di seluruh negara menjelang Oktober ini.

"Ketika ini, lima unit perkhidmatan itu ditempatkan di lokasi strategik di Lembah Klang seperti Hab e-dagang Pos Laju di ibu pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi (Kuala Lumpur), Pusat Pos Laju Bangi dan pejabat pos di cawangan Tesco Extra Selayang," katanya.

Pos Laju Ezibox adalah perkhidmatan 24 jam yang membolehkan orang ramai mengambil bungkusan mereka di 10 lokasi terpilih sekitar Lembah Klang.

"Kami merancang untuk menyediakan sehingga 60 kemudahan Ezibox menjelang akhir tahun ini dan menempatkannya di lokasi seperti stesen LRT (Transit Aliran Ringan) serta kawasan perumahan dan pejabat," katanya.

Selain itu, mengulas prestasi kewangan, Mohd Shukrie berkata ketika ini segmen mel menyumbang kira-kira 40-45 peratus kepada pendapatan kumpulan itu.

Beliau turut menjangkakan jumlah sumbangan segmen mel akan berkurangan kepada 30 peratus menjelang dua hingga tiga tahun lagi.

"Bakinya akan disumbangkan oleh perkhidmatan lain seperti Pos Laju yang juga  perniagaan kurier, insurans dan Ar-Rahnu. Kami yakin biarpun jumlah mel mencatat penurunan, pertumbuhan perniagaan lain sebaliknya akan meningkat," katanya.

Pos Malaysia Pos Laju

Artikel Lain