suria

Gabungan AQRS Terima LOI Bagi Pembelian Rumah PR1MA

KUALA LUMPUR: Gabungan Strategik Sdn Bhd, unit Gabungan AQRS Bhd, sudah menerima Surat Hasrat (LOI) PR1MA Corporation Malaysia bagi pembelian sejumlah 1,149 unit rumah PR1MA daripada syarikat itu dan AQRS The Building Company Sdn Bhd.

Gabungan Strategik adalah pemaju manakala AQRS The Building Company adalah pemilik kediaman PR1MA, kata Gabungan AQRS dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Kediaman merangkumi unit pangsapuri beserta kelengkapan, kemudahan, utiliti dan infrastruktur itu terletak di atas sebidang tanah berkeluasan 7.70 hektar di  Dengkil di Sepang, Selangor.

Gabungan AQRS berkata nilai pembelian itu berdasarkan satu harga yang akan dipersetujui bersama antara PR1MA dan Gabungan Strategik serta tertakluk kepada syarat dan terma dalam LOI berkenaan.

"Pelaksanaan pembangunan projek itu adalah sejajar strategi kumpulan itu bagi meraih keuntungan daripada aset terpilih," katanya.

Gabungan AQRS berkata nilai kontrak projek itu dianggarkan RM314 juta manakala kerja-kerja pembinaannya dijadualkan bermula pada suku pertama 2017.

"Cadangan kelulusan projek itu akan dikemukakan pada bulan depan dan kelulusan pihak berwajib berkaitan dijangka diperolehi menjelang suku keempat 2016.

"Projek itu juga dijangka siap dalam masa tiga setengah tahun," katanya.

Menurut Gabungan AQRS, jika tiada sebarang halangan, PR1MA dan Gabungan Strategik dijangka melaksanakan satu kontrak muktamad dalam masa tiga bulan daripada tarikh surat berkenaan.

Artikel Lain