suria

Krisis Hutang Di China Boleh Dielak Jika Bertindak Cepat

SINGAPURA: Krisis hutang di China boleh dielakkan jika penggubal dasar bertindak cepat dan tegas, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Sukudhew Singh.

"Mereka perlu menangani masalah itu cepat," katanya kepada Bernama di luar Forum Perbankan Financial Times Asia di sini hari ini selepas mengemukakan pandangannya pada panel perbincangan mengenai "Menghadapi Persekitaran Ekonomi Tidak Menentu dan Mencabar".

Berdasarkan pengalaman Malaysia semasa krisis kewangan Asia, katanya kerajaan dan bank pusat bertindak cepat untuk menangani masalah dalam sistem perbankan supaya penawaran kredit kepada ekonomi tidak terganggu.

Dr Sukudhew merupakan perunding Malaysia bagi perkhidmatan kewangan dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Berbanding negara-negara seperti Jepun dan Eropah yang lambat menangani masalah, kesan jangka panjang telah mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

"Pengajaran itu terpakai kepada China dan sebagainya. Kita tidak tahu sebenarnya saiz isu hutang itu. Berdasarkan kepada apa yang kita dengar daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan semuanya, hutang korporat terutamanya, adalah amat tinggi.

"Dan, berdasarkan pengalaman sebagai penggubal dasar, kita tahu jenis isu ini, jika kita tidak menanganinya awal, ia akan menjadi masalah yang lebih besar kelak," kata Dr Sukudhew.

Dilaporkan baru-baru ini IMF memberi amaran terhadap usaha untuk menangani beban hutang korporat China, yang sebanyak 145 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, "amat tinggi" dan hanya menyaksikan kemajuan yang terhad. 

Artikel Lain