suria

AirAsia X Yakin Dengan Laluan Baharu Ke Tehran

KUALA LUMPUR: AirAsia X yakin laluan baharunya yang bermula dengan penerbangan D7 776 semalam ke Tehran, Iran dari Kuala Lumpur dan beroperasi tiga kali seminggu, akan berjaya.

"Bermulanya laluan ini akan melengkapi rangkaian penerbangan kumpulan yang semakin berkembang di Kuala Lumpur, dan hubungan dengan ASEAN, China dan Australia dioptimumkan dengan destinasi dan kekerapan baharu yang kami perkenalkan meliputi rangkaian jarak jauh dan jarak pendek.

"Syarikat penerbangan yakin laluan baharu ini akan merangsang permintaan perjalanan yang baharu dan meningkatkan potensi pelancongan dan perniagaan kami serta kedua-dua negara.

"Iran merupakan pasaran yang besar untuk dimanfaatkan dan kami berharap dapat meningkatkan kehadiran kami di rantau itu, dan memastikan rakyat Malaysia dan warganegara ASEAN lain akan melakukan perjalanan dengan kami," kata Ketua Komersialnya, Arik De dalam kenyataan.

Terletak di kawasan pergunungan Alborz, Tehran adalah ibu negara Iran dan sebuah kota metropolis dengan seramai 14 juta penduduk.

Bandar kosmopolitan itu menempatkan banyak muzium yang besar, taman dan restoran tempatan yang menarik.

Menara Milad, menara terkenal di Tehran dengan ketinggian 435 meter, merupakan menara tertinggi di Iran, amat sesuai bagi mereka yang ingin melihat pemandangan bandar raya tersebut.

Menara Azadi bersejarah yang dibina pada 1971 akan membuat pelancong berasa kagum dengan 8,000 blok marmarnya yang akan bersinar di bawah pencahayaan khas pada waktu malam dan menjadi antara simbol Tehran.

Sebuah lagi seni bina menarik di bandar Tehran yang harus dikunjungi adalah tapak Warisan Dunia UNESCO, Istana Golestan.

Ia adalah sebahagian daripada bekas kompleks Diraja dari zaman Qajar yang merangkumi istana dan muzium, dihiasi dengan ukiran marmar dan dewan yang dihiasi cermin.

AirAsia X, Tehran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain