suria

Ketengah Holding Catat Untung Sebelum Cukai RM16.70 Juta

KUALA TERENGGANU: Keuntungan sebelum cukai kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd susut 22.5 peratus kepada RM16.70 juta bagi tahun kewangan 2015 berbanding RM21.54 juta yang dicatat pada 2014.

Bagaimanapun, syarikat mencatat perolehan sebanyak RM70.80 juta pada tahun kewangan 2015.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail berkata penurunan keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan kemerosotan industri sawit yang menjadi penggerak utama perniagaan Ketengah Holding.

Beliau berkata penurunan itu turut disebabkan faktor ketidakstabilan harga minyak mentah dan prestasi harga isirung sawit yang tidak memberangsangkan.

"Untuk makluman, tahun lalu (2015) pengeluaran sawit kita lebih tinggi berbanding 2014, tetapi faktor ekonomi menyebabkan pendapatan tiga anak syarikat yang terlibat dalam sektor ini berkurangan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa warga media Terengganu di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Omar berkata penurunan tersebut tidak menjejaskan bahagian operasi keseluruhan anak syarikat Ketengah tersebut.

Bagi melangkah maju, Ketengah juga menceburi beberapa projek pelaburan baharu terutama pelancongan di Tasik Kenyir yang sedang berkembang.

"Projek seperti Kenyir Waterpark di Kenyir yang dikendalikan Nikaniaga Travel and Tours Sdn Bhd telah menunjukkan prestasi yang baik dan mendapat sambutan menggalakan daripada pengunjung terutama musim cuti sekolah," katanya.

Beliau berkata projek melibatkan hartanah dengan pembinaan perumahan juga dijangka akan memberi hasil positif kepada Ketengah.

Ia sekaligus mengembangkan lagi aktiviti pembangunan di wilayah Ketengah memandangkan projek perumahan mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat, katanya.

Artikel Lain