suria

Samsung Perkenal Galaxy Siri J Baharu

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics memperkenalkan Samsung Galaxy Siri J 2016 yang baharu, telefon pintar untuk pengguna celik data, peningkatan daripada variasi tahun lepas.

Versi baharu itu kembali dengan ciri yang unik, mod Penjimatan Data Ultra (UDS) yang mampu memampatkan data dengan cekap dan mengehadkan latar belakang aplikasi untuk membantu menjimatkan data.

Naib Presiden Mobile, IT  and  Digital Imaging Samsung Malaysia Electronics, Lee Jui Siang berkata UDS membolehkan pengguna menjimatkan sehingga 50 peratus data mudah alih mereka dan lebih menjimatkan bateri.

"Kami mahu memastikan siri baharu itu bersesuaian dengan keperluan pengguna semasa yang penggunaan data sentiasa berubah selain memberi nilai yang lebih baik.

"Galaxy Siri J kami mendapat sambutan yang amat baik di Malaysia dan ia merupakan antara rangkaian telefon kami yang paling laris," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Samsung Galaxy Siri J (2016) di sini, Rabu. 

Jui Siang berkata, pada tahun ini, Samsung bekerjasama dengan YES, pengeluar utama global dalam mudah alih 4G untuk meningkatkan lagi pengalaman pengguna.

"Dengan pembelian mana-mana telefon pintar Samsung Galaxy Siri J 2016 dan  pek kad SIM Yes 4G, pengguna akan menerima Kad Sim Prabayar Yes 4G LTE percuma dengan data 30GB sah untuk tempoh dua bulan," katanya. 

Jui Siang berkata, Samsung kini melaksanakan 'Tawaran Great Galaxy Raya' sehingga 17 Julai dengan hadiah 30 buah kereta untuk dimenangi dengan pembelian peranti Samsung Galaxy bernilai RM300 dan ke atas. 

"Dengan promosi hari raya kami yang sedang berlangsung, pengguna yang membeli Galaxy Siri J baharu turut berpeluang memenangi hadiah menarik kami," katanya.

Samsung Galaxy Siri J 2016 itu terdiri daripada tiga model, iaitu Galaxy J1, Galaxy J5 dan Galaxy J7 -- masing-masing dengan skrin super AMOLED 4.5 inci, 5.2 inci dan 5.5 inci. 

Kesemua model itu boleh didapati mulai 16 Jun pada harga runcit (termasuk  GST) sebanyak RM449 (J1), RM849 (J5) dan RM1,049 (J7) dengan tiga pilihan warna - hitam, putih dan keemasan. -- Bernama

Artikel Lain