suria

Sew-Eurodrive Akan Buka Kilang Terbesar Di Malaysia

JOHOR BARU: Sew-Eurodrive, pembuat gear motor yang berpangkalan di Jerman, akan membuka kilang terbesarnya di Malaysia, di Taman Perindustrian Frontier (Frontier 2) di sini, demikian menurut pemaju Frontier 2, WB Land Sdn Bhd.

Pengarah Urusan WB Land Sdn Bhd, Wong Yen Yap berkata Sew-Eurodrive merupakan antara pelanggan mereka bagi unit kilang berkembar yang dibangunkan WB Land.

Beliau berkata Sew-Eurodrive akan dapat membekalkan lebih banyak gear motor kepada pelbagai sektor dengan kemudahan kilang di Frontier 2, termasuk untuk permainan 'roller coaster' yang akan dibangunkan Legoland Malaysia, di taman tema keluarga tersebut.

"Terdapat enam unit kilang berkembar ditawarkan dalam fasa kedua projek Frontier 2 itu dan kini ia dalam proses pembinaan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Mengenai perkembangan projek Frontier 2, Wong berkata kira-kira 80 peratus daripada 86 unit kilang separa berkembar yang turut ditawarkan dalam fasa kedua telah dibeli oleh pelabur, yang sebahagian besar merupakan pelabur Singapura.

Beliau berkata Frontier 2, melibatkan nilai pembangunan kasar (NPK) RM354 juta, terletak di lokasi strategik dalam kawasan Iskandar Malaysia dengan tempoh 15 minit dari Pelabuhan Johor dan 25 minit ke Woodlands, Singapura melalui laluan darat.

Setiap unit kilang separa berkembar Frontier 2 berkeluasan antara 6,341 hingga 13,395 kaki persegi manakala unit kilang berkembar pula berkeluasan daripada 23,409 hingga 65,156 kaki persegi, dijual antara RM2.2 juta dan RM9 juta.-- Bernama




Artikel Lain