suria

Sapura Resources Susun Semula Modal Untuk Perniagaan Pembangunan Hartanah

SERI KEMBANGAN: Sapura Resources Bhd akan menyusun semula modalnya untuk membangunkan perniagaan hartanah selepas menjual aset-aset dalam perniagaan pendidikan, kata Pengarah Urusan Datuk Shahriman Shamsuddin.

Katanya, syarikat itu mempunyai usahasama dengan KLCC (Holdings) Sdn Bhd bagi membina sebuah menara 52 tingkat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan berharap dapat menyiapkannya menjelang tahun 2020.

"Kami akan gunakan hasil daripada penjualan aset pendidikan kami untuk  projek ini, yang mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira RM1.5 bilion," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Rabu.

Shahriman berkata, para pemegang saham telah meluluskan penjualan keseluruhan saham-sahamnya dalam APIIT Sdn Bhd, Asia Pacific University Sdn Bhd dan Asia Pacific Institute of Information Technology Lanka Pvt Ltd kepada Ilmu Education Group Sdn Bhd dengan harga RM246.988 juta.

Shariman ketika bercakap mengenai masa depan memberitahu Sapura Resources akan mempunyai aliran tunai yang kukuh yang diperolehi daripada penyewaan pejabat melalui projek baharu di KLCC.

Dalam Laporan Tahunan 2016, syarikat itu berkata perniagaan pendidikan terbukti amat menguntungkan dalam tempoh empat tahun.

Bagaimana, ia kini sedang memasuki fasa baharu pembangunan dan pertumbuhan jangka panjang, khususnya projek APIIT yang membabitkan pembinaan kampus baharu di Bukit Jalil dengan Fasa 1 akan siap menjelang pertengahan 2016, kata Sapura Resources.

Dikatakan, jika panggilan tunai dibuat ke atas APIIT, Sapura Resources  perlu membuat sumbangan sejajar dengan kepentingan ekuiti atau mencairkan  pegangan sahamnya.

Menurutnya lagi, secara strategik, pihak lembaga percaya ia akan memberikan pulangan kepada syarikat dalam jangka panjang bagi membuka nilainya sebagai kepentingan bukan di bawah kawalan dalam perniagaan pendidikan.

Syarikat itu juga sedang meninjau beberapa projek pembangunan hartanah lain  sama ada di Lembah Klang atau di luar selepas mengambilkira sepenuhnya peluang dan sumber yang ada.-- Bernama

Artikel Lain