suria

BDB Mahu Bina 1,000 Rumah Mampu Milik Di Langkawi Mulai Tahun Depan

LANGKAWI: Bina Darul Aman Berhad (BDB), sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah bercadang untuk memulakan kerja-kerja pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik di Langkawi tahun depan, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Izham Yusoff.

Katanya, pembinaan itu merupakan sebahagian daripada pelaburan kira-kira RM1.5 bilion yang diumumkan syarikat itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya rasa projek ini paling penting sekali untuk Langkawi sendiri sebab keperluan rumah mampu milik di Langkawi amat tinggi sekali," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, BDB sudah diperuntuk sebidang tanah seluas hampir tujuh hektar di kawasan Batu Putih untuk projek itu.

Katanya syarikat itu kini sedang dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri untuk memperhalusi lagi kaedah sesuai bagi pelaksanaan projek berkenaan.

"Kalau boleh kita dapat satu persetujuan daripada semua pihak menjelang hujung tahun ini untuk memulakan kerja-kerja pembinaan. Kita sudah ada tanah, cuma kita memerlukan persetujuan daripada semua pihak untuk memajukan tanah itu," katanya.-- Bernama

Artikel Lain