suria

Universal MCCANN Malaysia Rangkul Anugerah Terbaik 2016

Pegawai dan kakitangan Universal McCann meraikan kejayaan syarikat pada majlis Anugerah Media Malaysia 2016, Khamis.

PETALING JAYA: Universal McCann Malaysia merangkul Anugerah Terbaik 2016 selepas saingan sengit pada majlis Anugerah Media Malaysia 2016 (MMA16), di sini, Khamis.

Agensi itu, iaitu agensi media terbesar di bawah IPG Mediabrands Malaysia, juga meraih Anugerah Grand Prix, Pengiklan Terbaik dan lima Anugerah Emas dalam lima kategori termasuk Penggunaan Terbaik Digital, Penggunaan Terbaik Media Sosial dan Penggunaan Terbaik Akhbar/Majalah.

Anugerah Agensi Terbaik diberikan kepada agensi pengiklanan dengan markah tertinggi dikumpul daripada 12 kategori.

Dianjurkan oleh Persatuan Pakar Media (MSA), MMA dimulakan pada 2004 untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada hasil kerja dan pencapaian terbaik oleh agensi-agensi media yang menghasilkan penyampaian yang mengagumkan melalui  pelaksanaan inovatif dan strategi pintar.

MMA sejak itu telah berkembang menjadi acara penyampaian anugerah  berprestij yang sangat dinanti-nantikan oleh mereka di kalangan media.

Sementara itu, Presiden Persatuan pakar Media (MSA) Andreas Vogiatzakis  dalam ucapan perasmiannya berkata industri itu kini menghadapi tahun perubahan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Kita kini berada di persimpangan, mendepani lebih banyak cabaran seperti  fragmentasi media, pelaburan oleh pelanggan secara berhemah dan pemulihan ekonomi yang perlahan.

"Landskap juga berputar dengan begitu pesat. Teknologi semakin maju dengan kepantasan geometri, keperluan pengguna yang berbeza, menjurus mandat yang lebih tinggi untu media," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur MMA16, Kagee Chew berkata MMA telah memulakan beberapa inisiatif pada tahun ini bagi memastikan bakat sentiasa bermotivasi, berdaya saing dan relevan.

"Tahun ini, MMA memberi fokus untuk meningkatkan penyertaan ahli MSA.

Sasaran kami ialah untuk mengaktifkan ahli bukan aktif melalui beberapa inisiatif termasuk pengecualian yuran penyertaan, menyediakan bantuan dalam penulisan iklan dan produksi video.

"Saya berbangga untuk menyatakan bahawa melalui usaha ini, kami telah mencapai kadar 50 peratus penyertaan ahli-ahli bukan aktif dalam MSA," kata beliau.-- Bernama


Artikel Lain