suria

Negara Asean Perlu Tingkat Hubungan Ekonomi Dengan India

KUALA LUMPUR: Negara-negara Asean perlu memperkukuh hubungan ekonomi dengan India, yang telah menjadi pasaran penting bagi perkumpulan selepas China, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

India, dengan penduduk lebih 1.25 bilion, adalah negara yang semakin meningkat dan antara ekonomi yang paling pesat berkembang selepas China, katanya.

"Kita percaya negara ini menawarkan potensi yang besar terutamanya dalam pembangunan infrastruktur," kata Mustapa di luar acara selepas  perbincangan panel bertajuk "Battling over Asia's Economic Architecture" pada Forum Ekonomi Dunia mengenai Asean 2016 di sini, Khamis.

Mustapa berkata infrastruktur adalah keperluan penting di India dan beliau  melihat negara Asia selatan itu sebagai negara berkembang pantas pada dekad akan datang.

Malaysia mempunyai strategi bagi India dan adalah penting bagi negara untuk melibatkan diri dengan lebih kerap dengan syarikat-syarikat India tempatan, katanya, dan menambah pendekatan ekosistem akan saling memperkukuh antara syarikat Malaysia dan India.

"Syarikat Malaysia telah mewujudkan kehadiran mereka di sana dalam  bidang kereta api, pembinaan dan pembangunan perbandaran.

"Kami telah melakukannya tetapi maksud saya ialah, ia tidak mencukupi, memandangkan saiz India dan peluang luas yang masih belum ditawarkan. Kita perlu melakukan lebih banyak lagi usaha," kata Mustapa.

India dan Asean membentuk komuniti seramai 1.8 bilion orang dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion.

Mustapa berkata, Malaysia boleh bertindak sebagai pintu masuk ke pasaran Asean bagi India dan menambah syarikat-syarikat India perlu melihat ke hadapan untuk pengembangan di Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran mereka di rantau Asean dalam bidang kepakaran mereka. 

Artikel Berikut

Artikel Lain