suria

Asean Perlu Tumpu Empat Faktor Pacu Potensi, Kejayaan AEC - Nazir Razak

KUALA LUMPUR: Asean mempunyai alasan kukuh untuk optimis terhadap masa depannya dengan syarat setiap kerajaannya menyedari kepentingan penyepaduan mereka bagi merealisasikan potensi masing-masing.

Sehubungan itu, Pengerusi CIMB Group Holdings, Datuk Seri Nazir Tun Abdul Razak, menggesa anggota Asean menumpukan empat faktor pemacu potensi besar gagasan berkenaan iaitu pelaksanaan di peringkat negara, penggunaan teknologi, pembaharuan global serta kepentingan geopolitik.

"Dari segi pelaksanaannya, setiap kerajaan (negara anggota Asean) perlu bijak untuk membuat pilihan pelaburan tepat dan di mana serta mempunyai infrastruktur yang sewajarnya," katanya pada sesi interaksi di Forum Ekonomi Dunia Mengenai Asean, selama dua hari, bermula Rabu.

Nazir yang juga salah seorang ahli panelis sesi berkenaan, juga menyifatkan pendidikan sebagai aspek teras bagi mempertingkatkan pelaksanaan dalam kalangan kerajaan berkaitan.

"Faktor kedua adalah keperluan kita menerima dan mengamalkan revolusi teknologi berikutan kepentingannya mewujudkan usahawan dan pada masa sama membolehkan mereka saling bersaing," katanya.

Mengulas faktor ketiga, beliau berkata negara-negara Asean juga perlu menumpukan usaha penstrukturan semula ekonomi rantau ini serta membuat perubahan yang pada akhirnya mengundang manfaat untuk blok perdagangan itu.

Bagi faktor keempat, Nazir berkata, negara-negara anggota Asean juga memerlukan lonjakan geopolitik bagi pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Malah, tegasnya, sebagaimana disenaraikan Pelan Tindakan Strategik AEC 2025, sektor swasta perlu memberikan lebih banyak komitmen bagi memastikan kejayaan rantau berkenaan.

Pelan Tindakan Strategik AEC 2025 yang diluluskan pemimpin Asean, antara lainnya menyenaraikan pendekatan hala tuju strategik bagi AEC bermula 2016-2025.

Ia bertujuan mencapai wawasan mewujudkan AEC menjelang 2025 yang bersepadu, berdaya saing, inovatif dan dinamik dengan kerjasama mantap dari segi kesalinghubungan dan sektor, lebih berdaya tahan, inklusif, berpaksikan rakyat, komuniti berteraskan penduduk serta penyepaduan dengan ekonomi global.-- Bernama




Asean, Nazir Tun Abdul Razak, AEC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain