suria

BSN Sasar Tambah Pengguna Aktif Kad Debit Kepada 6 Juta

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasar menambahkan bilangan pengguna aktif kad debitnya kepada 6.0 juta pada akhir tahun ini dengan sokongan pola perbelanjaan pelanggan yang tinggi.

Naib Presiden/Ketua Jabatan Perniagaan Kad, Mohd Sofian Amirudin berkata sasaran itu sejajar dengan usaha bank tersebut untuk mengubah tingkah laku pelanggan ke arah masyarakat tanpa tunai. 

"Kad debit lebih selamat berbanding menggunakan tunai dan kami juga mahu mencapai aspirasi kerajaan ke arah menggalakkan masyarakat kepada perbelanjaan tanpa tunai," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pemenang kempen 'BSN Easy Win Debit Card-i', di sini, Khamis.

Kempen itu yang diadakan dari 1 November 2015 hingga 31 Januari 2016, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan sedia adanya dan pelanggan baharu, dan menawarkan 126 hadiah termasuk Perodua Axia, Samsung Galaxy Note 5, baucar penerbangan AirAsia dan Smart Tags.

Mohd Sofian berkata BSN juga menyasar meningkatkan perbelanjaan kad debit bulan ke bulan kepada 50 peratus tahun ini, daripada pertumbuhan perbelanjaan 38 peratus sebanyak RM13.3 sebulan pada 2015.

Bank itu mencatatkan purata bulanan 95,000 pengeluaran kad debit baharu selepas kempen tersebut bermula berbanding 60,000 pengeluaran sebelum kempen itu dilancarkan, katanya. 

Tahun lepas, sejumlah RM230 juta dibelanjakan menerusi kad debit dan tahun ini angka tersebut dijangka meningkat kepada antara RM340 juta dan RM350 juta susulan pengenalan kempen itu.-- Bernama 


BSN, Mohd Sofian Amirudin

Artikel Lain