suria

7-Eleven Buka 200 Kedai Baharu Tahun Ini

KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd akan membelanjakan antara RM85 juta dan RM90 juta sebagai sebahagian daripada pelan pengembangannya yang termasuk pembukaan 200 kedai baharu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Gary Brown berkata usaha pengembangan yang berterusan itu akan menyaksikan lebih banyak kedai di Lembah Klang, Pantai Timur, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Pada 2015, 7-Eleven Malaysia membuka 199 kedai baharu di seluruh negara. 

"Kami akan terus melabur dalam kedai baharu dan membina rangkaian kami.

Pelaburan itu termasuk pengubahsuaian 200 kedai sedia ada pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, Khamis.

Beliau berkata syarikat turut memperuntukkan perbelanjaan modal yang besar untuk terus menaik taraf sistem teknologi maklumatnya (IT) yang baharu.

"Projek sistem IT baharu itu yang bermula pada 2014 dengan kos RM66 juta dijangka siap pada pertengahan tahun ini," kata Brown.

Sehingga pada 31 Disember 2015, kumpulan mempunyai jumlah rizab tunai sebanyak RM126 juta.-- Bernama

7-Eleven, Gary Brown

Artikel Lain