suria

AirAsia X Tawar Penerbangan Terus KL-Mauritius

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd pada Rabu mengumumkan Mauritius sebagai destinasi terbaharu dalam perkembangan rangkaiannya, dengan menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur selama tiga kali seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata sempena dengan pengumuman itu, syarikat penerbangan tersebut menawarkan promosi semua dalam tambang dari serendah RM299 sehala bagi tempat duduk biasa dan bermula RM999 sehala untuk kerusi katil premium.

Tempahan dalam talian untuk promosi itu boleh dibuat mulai 26 Mei hingga 5 Jun, bagi tempoh perjalanan dari 4 Okt sehingga 22 Mei tahun depan.

"Kami yakin pengumuman laluan ini yang diiringi dengan promosi tambang rendah pasti akan merangsangkan pasaran, terutamanya di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran destinasi terbaharu itu di sini.

Katanya, pengumuman tersebut juga amat tepat pada masanya memandangkan ia menghubungkan semua titik rangkaian merentasi Asia dan Australia dengan menggunakan servis FlyThru.

AirAsia X juga akan memulakan operasi penerbangan ke Hawaii tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan kawal selia daripada Amerika Syarikat.

"Semuanya telah kami selesaikan, sekarang, dalam proses menunggu disebabkan kelulusan biasanya mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan, terutamanya bagi syarikat penerbangan yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman terlebih dahulu dengan pasaran Amerika Syarikat," katanya.

Sementara itu, Benjamin amat yakin bahawa AirAsia X akan mampu mengekalkan pertumbuhan keuntungan tahun ini.

"Pihak pengurusan sangat yakin dan sasarannya adalah untuk mengekalkan momentum yang positif ini," katanya, sambil menambah AirAsia X adalah optimistik untuk mencapai keuntungan yang lebih tinggi menjelang akhir tahun.

Semalam, AirAsia X mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM218.52 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2016 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM117.28 juta setahun yang lalu.

Hasil melonjak kepada RM970.67 juta daripada RM775.37 juta, disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam trafik penumpang dan pertumbuhan purata tambang asas.

Artikel Lain