suria

Untung Pracukai Hong Leong Bank Susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Hong Leong Bank Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2016, susut kepada RM606.64 juta berbanding RM662.69 juta bagi suku sama, tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehannya meningkat sedikit kepada RM1 bilion daripada  RM988.10 juta, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Selasa.

Menurutnya, kemerosotan keuntungan sebelum cukai itu disebabkan bayaran elaun lebih tinggi bagi kerugian pinjaman, bayaran pendahuluan serta pembiayaan sebanyak RM29.6 juta, perbelanjaan operasi lebih tinggi sebanyak RM21.7 juta, kerugian akibat kiraan masuk semula nilai aset yang rendah daripada sekuriti bernilai RM4.8 juta serta keuntungan kecil syarikat sekutu dan usaha sama sebanyak RM17.1 juta.

"Angka ini bagaimanapun dapat diimbangi oleh pendapatan bersih lebih tinggi sebanyak RM14.1 juta," katanya.

Prospek syarikat itu dijangka terus sederhana pada 2016, disokong oleh pertumbuhan permintaan domestik yang sederhana berikutan persekitaran luaran yang suram.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai Hong Leong Capital Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2016 susut kepada RM14.47 juta daripada RM16.72 juta pada tempoh sama, setahun lepas.

Ia disebabkan oleh sumbangan bank pelaburan serta pembrokeran saham yang lebih rendah, kata syarikat itu.

Perolehannya merosot kepada RM58.71 juta daripada RM62.02 juta.

Hong Leong Capital menjangkakan dapat mencatat prestasi lebih memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2016 dengan peningkatan keuntungan menerusi langkah pempelbagaian sumber pendapatan daripada aktiviti bank pelaburan yang meluas.

Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, Hong Leong Capital mengumumkan bahawa syarikat itu ketika ini tidak menepati peraturan perenggan 8.02 (1) Keperluan Penyenaraian yang mana penerbit yang tersenarai perlu memastikan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keseluruhan saham yang disenaraikan adalah dalam tangan para pemegang saham awam.

Bagi tempoh setakat 30 Mac, 2016, jumlah pegangan awam dalam lembaran syarikat itu adalah 18.67 peratus dan syarikat itu belum mengenal pasti pelan wajar bagi menangani isu berhubung ketetapan pegangan 25 peratus berkenaan, setakat ini.

Artikel Lain