suria

IDB Rancang Buka Pejabat Serantau Di KL

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Islam (IDB) mempertimbangkan untuk membuka pejabat serantaunya di sini dan kini mengkaji peranan pejabat berkenaan dalam membantu pembangunan negara anggota.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata IDB menjangka Malaysia akan memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau terutamanya melalui hubungan dengan China.

"Satu daripada tumpuan khusus ialah memanfaatkan inisiatif 'One Belt, One Road' yang dilancarkan China," kata beliau dan menambah yang hasrat berkenaan disampaikan oleh Presiden IDB Tan Sri Dr Ahmed Mohamed Ali Al-Madani di luar acara Mesyuarat Tahunan Kumpulan Bank Pembangunan Islam di Jakarta, Indonesia.

Husni, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat agung tahunan ke-41  mulai 17 hingga 19 Mei, berkata lebih banyak dana dan bantuan akan dapat disalurkan di negara-negara anggota IDB.

Dalam satu kenyataan, menteri itu berkata dengan pengukuhan perkongsian antara negara-negara anggota, termasuk Malaysia, dan IDB bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dan perkongsian pengalaman pembangunan terutamanya  dengan negara-negara anggota berpendapatan rendah.

Antara bidang bantuan yang akan disediakan ialah bagi perancangan pembangunan jangka sederhana dan jangka panjang serta program transformasi.

Beliau turut menemui Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), Khaled Mohamed Al-Aboodi yang memaklumkan mengenai bantuan tersedia bagi syarikat-syarikat Malaysia yang berhasrat memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara.

ICD merupakan anggota IDB yang ditubuhkan bagi menyokong pembangunan  ekonomi negara-negara anggota IDB dengan menyediakan pembiayaan bagi projek-projek sektor swasta, menggalakkan persaingan dan keusahawanan, menyediakan perkhidmatan nasihat kepada kerajaan dan syarikat swasta serta menggalakkan pelaburan rentas sempadan.

Husni berkata Malaysia dipilih oleh ICD bagi perkongsian pengetahuan teknikal apabila membantu Jordan dalam menerbitkan sukuknya dan akan terus membantu dalam sebarang inisiatif sedemikian pada masa depan.

Sementara itu, penyertaan Malaysia pada mesyuarat tahunan IDB kali ini menerangkan pengalaman pembangunan dan wawasannya untuk mengukuhkan ummah.

Ia mengesahkan komitmen negara dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan negara-negara anggotanya diberikan keutamaan, kata kenyataan itu lagi.

IDB

Artikel Lain