suria

Pendapatan Tropical Bioessence Meningkat 25 Peratus Sejak Sertai Bionext

SEREMBAN: Pendapatan Tropical Bioessence Sdn Bhd meningkat 25 peratus setakat lima bulan pertama tahun ini kepada RM2.75 juta, berbanding RM2.25 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, sejak menyertai program BioNext di bawah kelolaan BiotechCorp dan SME Corp Malaysia.

Pengarah Urusannya Mohd Khairil Said berkata pendapatan syarikat berstatus bionexus itu disumbang terutamanya daripada jualan produk Sutra.

"Tahun ini kita menyasarkan pendapatan hasil jualan produk Sutra meningkat lebih daripada RM3.5 juta, disokong dengan penambahan kedai konsep Sutra Shoppe, pelancaran produk baharu dan peningkatan sumbangan daripada pasaran export," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Sutra Shoppe, di sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Datuk Hafsah Hashim.

Sementara itu, Mohd Nazlee berkata Tropical Bioessence merupakan antara 10 syarikat yang dibimbing di bawah program BioNext, yang bermula tahun lepas, untuk menjadi syarikat bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, syarikat itu telah diberi sokongan oleh BiotechCorp untuk mengembang dan memperkukuh perniagaan melalui program-program bertaraf dunia seperti Bioeconomy Accelerator Programme yang dijalankan bersama Institut Larta dari Amerika Syarikat (AS) dan program BioNext yang melibatkan organisasi pengkomersilan teknologi daripada Universiti Oxford dengan kerjasama SME Corp Malaysia dan BDEC Resources Malaysia Sdn Bhd.

"Program-program ini merangsangkan lagi pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana berstatus BioNexus dan bertujuan mewujudkan 20 syarikat berasaskan bioglobal menjelang 2020.

"Ini selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara di mana kami ingin meningkatkan nilai eksport bio-produk Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai pemain bioekonomi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu Hafsah berkata SME Corp memilih untuk bekerjasama dengan BiotechCorp kerana merasakan bidang bioteknologi mempunyai nilai tambah yang tinggi.

"Kami telah memilih 10 syarikat yang boleh diketengahkan dan dipercepatkan pertumbuhannya supaya dapat dikategorikan syarikat ini sebagai syarikat bertaraf dunia.

"Maka dengan itu bantuan-bantuan yang diberi oleh BiotechCorp dan SME Corp adalah bersepadu di mana kami bersetuju untuk memberi satu pakej kepada 10 syarikat yang terpilih ini untuk mereka mendapat peluang dan pendedahan yang sepatutnya di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurutnya, 10 syarikat tersebut dipilih berdasarkan kebolehupayaannya memenuhi pensijilan antarabangsa dan mempunyai jenama yang kukuh.

Hafsah berkata kesemua syarikat yang dipilih bukan sahaja dibantu dari segi kewangan tetapi juga dibimbing secara bersepadu untuk membantu mempercepatkan pertumbuhan mereka.

Tropical Bioessence mengilang dan menghasilkan minyak pati, ekstrak herba dan produk akhir yang berasaskan minyak pati dan ekstrak herba di bawah jenama Sutra.-- Bernama


Tropical Bioessence, Bionex

Artikel Lain