suria

Salutica Rancang Teroka Paranti Penjagaan Kesihatan

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mula disenarai di Pasaran Ace pada Rabu, Salutica Bhd merancang meneroka segmen peranti penjagaan kesihatan sebagai sebahagian daripada pelan untuk meningkatkan kehadiran antarabangsanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, James Lim Chong Shyh berkata, syarikat itu sedang menjalankan kajian kemungkinan mengenai peranti penjagaan kesihatan.

Pada masa sama, Salutica juga memberi tumpuan kepada membangunkan produk Bluetooth untuk kenderaan komersil dan lasak, katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian syarikat berkenaan.

Antara barisan produk teknologi Bluetooth 4.0 Salutica di bawah jenama  FOBO ialah FOBO Tire, FOBO Tire Plus, FOBO Bike, FOBO Xtra, FOBO Tag, FOBO Max dan FOBO Beacon.

Pada sesi pembukaan, saham Salutica meningkat kepada 86.5 sen daripada tawaran awal 80 sen sesaham dengan 52.78 juta saham bertukar tangan.

Lim berkata, 90 peratus produknya dieksport ke Amerika Syarikat, Eropah,  China, Australia dan Jepun.

"Kami akan memberi tumpuan kepada pasaran barat kerana kami berpendapat masih ada ruang untuk berkembang kerana pasaran itu belum matang lagi.

"Mereka (barat) memahami teknologi yang kami tawarkan tetapi untuk pasaran ASEAN, sumbangan hanya tiga peratus dan ketika ini kami tidak mempunyai rancangan untuk meningkatkannya," tambahnya.

Pada tahun kewangan 2015, syarikat itu telah menjual 2.2 juta unit perantinya.

Ditanya mengenai kapasiti semasa, Lim berkata kadar penggunaan kapasiti kilangnya berada pada 70 peratus.

Salutica mengumpul RM62.4 juta melalui tawaran awam awal dan daripada jumlah itu ia merancang menggunakan RM25 juta untuk meningkatkan kapasiti syarikat dalam pengeluaran serta penghasilan produk canggih berkaitan Bluetooth.

Sebanyak RM8.2 juta adalah untuk meningkatkan jabatan penyelidikan dan pembangunan, kemudahan, kelengkapan dan tenaga kerja, manakala RM8.5 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank.

Bakinya RM4 juta diperuntuk bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.

RHB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan untuk eksesais penyenaraian Salutica. 

Artikel Lain