suria

Algaetech Bina Kilang Pengeluaran Astaxantin Di Brunei

Syed Isa Syed Alwi (kanan)

KUALA LUMPUR: Syarikat berstatus BioNexus Malaysia, Algaetech International Sdn Bhd merancang memulakan pembinaan kilang pengeluaran astaxantin keduanya di Brunei pada akhir tahun.

Pengarah Urusan, Datuk Paduka Syed Isa Syed Alwi berkata: "Kami sedang memuktamadkan pemeteraian perjanjian kontrak sebelum memulakan majlis pecah tanah."

Astaxantin diperoleh daripada sejenis mikroalga dipanggil haematococcus  pluvialis, diiktiraf sebagai antioksidan berkuasa tinggi dan ditemui dalam tumbuhan marin dan haiwan tertentu.

Syed Isa memberitahu Bernama, kilang di Brunei akan dibina di tapak 2.023 hektar yang dipajak daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei.

"Kemudahan baharu itu bernilai lebih RM27 juta iaitu kos membina kilang di Malaysia dan akan memerlukan setahun untuk siap," katanya.

Mengenai pelaburan, beliau berkata, syarikat telah membelanjakan RM10 juta dalam tempoh enam tahun lalu untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R and D) produk untuk semua teknologinya.

"Untuk astaxantin, hampir RM30 juta dibelanjakan k atas kemudahan pengeluaran dan lebih banyak akan dibelanja untuk kilang baharu pada masa depan."Tahun ini, RM15 juta diperuntuk bagi perbelanjaan modal, terutama untuk jentera tambah nilai, infrastruktur serta penyiapan kilang di Malaysia," tambahnya.

Syed Isa berkata, kemudahan di Malaysia itu kini 80 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Pada 2014, Algaetech International dijemput kerajaan Brunei untuk membina kilang pengeluaran astaxantin di Taman Perindustrian Salambigar.

Kilang pertama syarikat itu dibina di Taman Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur.

"Kemudahan baru itu akan membolehkan kerajaan Brunei meneroka sektor baharu, terutama dalam farmaseutikal bagi mengurangkan pergantungan ke atas minyak dan gas.

"Kilang itu akan menggandakan pengeluaran kami kepada tujuh tan metrik biomass astaxantin sebulan," kata Syed Isa.

Algaetech International adalah perintis industri teknologi alga, khususnya dalam R and D, perkhidmatan perundingan alga, pengeluaran serta pengkomersilan produk bernilai tinggi daripada alga.

Antioksidan astaxanthin telah terbukti mempunyai potensi dalam mengurangkan risiko kanser, meningkatkan pemulihan ketahanan dan otot serta mengandungi keupayaan antipenuaan.

Artikel Lain