suria

Pemindahan Aset 1MDB Kepada MKD Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Pemindahan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) berjalan lancar dan akan selesai menjelang akhir Mei, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada Selasa.

Proses itu kini di peringkat akhir dan tidak akan menjadi eksesais yang rumit kerana 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MKD, katanya.

"Lembaga pengarah juga telah meletakkan jawatan mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Akademi Pengarah Malaysia (MINDA) 2.0 di sini.

Langkah itu adalah sebahagian cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang dalam laporan 106 muka suratnya berkata, pemindahan aset dan anak syarikat 1MDB ke MKD akan membolehkan siasatan lebih rapi terhadap syarikat berkenaan.

MKD sebelum ini telah berkata, ia akan melantik anggota lembaga pengarah baharu untuk mencerminkan profil perniagaan yang terhad 1MDB.

"Kami faham yang tidak ada aktiviti akan dijalankan 1MDB (selepas selesainya eksesais itu). Oleh itu akan melihat kepada semua butiran terbabit dan kami akan mempunyai lembaga pengarah sementara dan ia boleh datang daripada orang MKD," tambahnya.

Awal bulan ini, kerajaan berkata, 1MDB akan memindahkan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd serta tanah di Air Itam dan Pulau Indah kepada MKD, sebagai respons kepada cadangan laporan PAC mengenai 1MDB (Laporan PAC).

"Untuk TRX, kami mempunyai usaha sama dengan Lend Lease (pemaju hartanah yang tersenarai di Australia). Mereka (usaha sama itu) tidak boleh bergerak kerana mereka tidak mendapat pembiayaan berikutan isu 1MDB. Begitu juga dengan Bandar Malaysia (projek).

"Sangat sukar untuk bank tempatan atau antarabangsa untuk membiayai (projek itu) apabila anda mempunyai isu dengan 1MDB," katanya.

Johari berkata, 1MDB juga telah berhubungan dengan pemegang bon berkaitan eksesais berkenan bagi memastikan mereka tahu mengenai pemindahan itu.

"Terdapat dua jenis pemegang bon (untuk 1MDB) -- pemegang bon yang kini melanggan sukuk dengan 1MDB dan mereka yang berurusan dengan IPIC.

"Oleh itu pemegang bon IPIC, secara dasarnya mereka hanya berminat untuk pergi kepada IPIC kerana bon itu dijamin IPIC, pokok dan faedah," tambahnya.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Johari menggesa syarikat untuk memilih ahli lembaga pengarah secara berhati-hati dengan memastikan mereka layak dengan pengetahuan ekonomi dan kewangan serta mempunyai pengalaman industri yang relevan.

"Yang penting, mereka mempunyai integriti dan akauntabiliti yang tinggi serta berani mendedahkan salah laku bagi memastikan tadbir urus korporat yang baik.

"Selain itu, pengawal selia, iaitu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia mesti memastikan pematuhan tegas kepada keperluan laporan wajib dan standard tadbir urus korporat," tambahnya.

Artikel Lain