suria

Tiga Inisiatif Galakkan E-Dagang Di Langkawi Mulai Tahun Ini

Datuk Jailani Johari

LANGKAWI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melaksanakan projek 'Langkawi Address for All' mulai tahun ini sebagai satu daripada tiga inisiatifnya bagi menggiatkan lagi aktiviti e-dagang di pulau pelancongan ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Jailani Johari pada Isnin berkata projek itu dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 50,000 penduduk dengan memudahkan transaksi penghantaran dan penerimaan barangan.

"Dengan adanya inisiatif 'Address For All' ataupun Alamat Untuk Semua, masyarakat terutamanya di Langkawi dapat menggunakan khidmat alamat ini untuk menerima surat dan melaksanakan program e-dagang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Kesatuan Pos Asia-Pasifik (APPU-EC) di sini.

Menurutnya Pos Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan melaksanakan projek Post Tourism di Langkawi dengan Lembaga Pembangunan Langkawi akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk projek berkenaan.

Sebelum ini, projek Post Tourism ini dilaksanakan di Gunung Kinabalu dan Pulau Layang-Layang di Sabah, Tanjung Piai di Johor dan Pulau Redang di Terengganu.

Jailani berkata SKMM dan Pos Malaysia juga sedang mengkaji kesesuaian bagi mewujudkan sebuah pusat e-dagang di Langkawi untuk meningkatkan aktiviti dagangan di pulau bebas cukai ini.

"E-dagang adalah antara topik yang akan dibincangkan dalam mesyuarat APPU kali ini dan kita rasakan Langkawi merupakan satu daripada tempat untuk dijadikan fokusnya," katanya.

Menurutnya e-dagang sentiasa mendapat penekanan kerajaan khususnya bagi membolehkan rakyat memperoleh manfaat ekonomi menerusi penggunaan internet tanpa mengira sama ada mereka berada di bandar ataupun di luar bandar.

Ini terbukti menerusi pelaksanaan program-program kerajaan seperti e-rezeki, e-keusahawanan dan Mycyber Sales yang membolehkan rakyat mendapat impak positif melalui internet.

Artikel Lain