suria

Mara Perkenal SPiKE 2.0 Perkasakan Skim Sedia Ada - Ismail Sabri

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) menyampaikan Anugerah Pejabat MARA Daerah Terbaik 2015 kepada Pegawai MARA Daerah Mersing Mohd Saiful Azhar Yunus (kanan) pada Persidangan Pegawai MARA Daerah Se-Malaysia di sebuah hotel, Jumaat. Turut hadir Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi (dua, kiri) dan Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad (kiri).

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan Skim Pinjaman Kontraktor Ekpress 2.0 (SPiKE 2.0) bagi memperkasakan skim sedia ada.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim yang dikhaskan kepada kontraktor bumiputera kelas F itu mula diperkenal pada 2011 dengan dana sebanyak RM250 juta.

Katanya bagi SPiKE 2.0, kerajaan menyuntik dana tambahan sebanyak RM100 juta.

"Pembiayaan ini merangkumi kemudahan pembiayaan kontrak daripada kerajaan termasuk agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Had pembiayaan adalah dari RM250,000 ke atas sehingga maksimum RM1 juta bagi setiap pinjaman," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Mara Daerah SeMalaysia 2016, di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.

Menurut Ismail Sabri, skim itu sebelum ini telah membiayai kira-kira 30,000 kontraktor bumiputera seluruh negara.

"Dengan kadar bunga bagi bayaran balik sebanyak enam peratus, skim itu menyasarkan pemberian pinjaman kepada 5,000 kontraktor bumiputera setahun," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Mara mewujudkan Program Rantaian Nilai Industri (PRiN) bagi menambah baik Program Kemudahan Pengeluaran dan Perintian, Inkubator Teknologi Perkilangan dan Program Inkubator Teknologi Tinggi.

Katanya antara kemudahan yang disediakan menerusi PRiN adalah pembelian stok, perolehan mesin dan peralatan serta menaik taraf premis termasuk ruang kilang.

"Had pembiayaan skim ini adalah RM500,000 untuk syarikat pemilikan tunggal/perkongsian manakala RM5 juta bagi syarikat sendirian berhad," katanya.-- Bernama

Mara, SPiKE, Ismail Sabri Yaakob

Artikel Lain