suria

Digi Peruntukkan Capex Cecah RM904 Juta Sepanjang 2016

KUALA LUMPUR: DiGi.com Bhd telah memperuntukkan sebanyak RM904 juta bagi perbelanjaan modal (capex) tahun ini bagi tujuan meningkatkan rangkaian dan liputannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Albern Murthy berkata, syarikat telekomunikasi itu telah membelanjakan sebanyak RM171 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2016.

Katanya, Digi akan memberikan fokus bagi memajukan rangkaian evolusi jangka panjang (LTE) dan LTE Advance syarikat itu daripada 77 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 33 peratus dalam suku yang sama tahun lepas.

Dalam pada itu, Digi juga akan menambah kelajuan LTE, katanya dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Jumaat.

Syarikat itu akan memberi keutamaan ke arah memperluaskan segmen internet dan asas pelanggannya.

Murthy ketika mengulas mengenai prestasi Digi tahun ini, berkata "Ia dijangka tidak berubah memandangkan persekitaran pasaran yang mencabar."

Keuntungan sebelum cukai DiGi susut kepada RM533.6 juta dalam suku pertama 2016 berbanding dengan RM626 juta pada tahun lepas, manakala hasil menurun kepada RM1.65 bilion daripada RM1.79 bilion sebelum ini.

Pelanggan DiGi hari ini berjumlah sebanyak 12.3 juta, disokong oleh peningkatan yang kukuh dalam pelanggan Internet aktif sebanyak 7.9 juta atau 64.2 peratus daripada jumlah asas, manakala pelanggan 4G LTE adalah sebanyak 2.9 juta.

Hasil perkhidmatan pascabayar mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus dari tahun ke tahun dan 3.1 peratus dari suku ke atas suku manakala asas pelanggan pascabayar telah mengukuh kepada 8.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.9 juta pelanggan.

Pelanggan pascabayar Internet menokok kepada 1.5 juta, mewakili 80.3 peratus asas pelanggan pascabayar syarikat itu dan menyumbang sebanyak RM207 juta kepada hasil.-- Bernama

DiGi.com Bhd, capex

Artikel Lain