suria

UEM Edgenta Sasar Peroleh Kontrak Khidmat Sokongan Hospital Dari Swasta

Azmir Merican

PETALING JAYA: UEM Edgenta Bhd menyasar untuk memperoleh kontrak perkhidmatan sokongan hospital (HSS) dari pihak swasta bagi mengimbangi kesan penurunan sumbangan konsesi jangka panjang dengan Kementerian Kesihatan.

Keuntungan sebelum cukai syarikat itu dijangka susut sebanyak RM45 juta dan perolehan sebanyak RM280 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016 berikutan jumlah hospital awam di seluruh negara yang diservis UEM Edgenta berkurangan kepada 32 daripada 81 berkuat kuasa 1 April, 2015.

Bagi tahun kewangan 2015, keuntungan sebelum cukainya susut kepada RM305.42 juta daripada RM324.46 juta pada tahun sebelum itu, manakala perolehan meningkat kepada RM3.123 bilion daripada RM3.09 bilion.

UEM Edgenta menyediakan perkhidmatan kepada hospital dengan menjalankan penyelenggaraan kejuruteraan bioperubatan hingga perkhidmatan pengurusan sisa dan dobi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azmir Merican berkata memandangkan sumbangan yang rendah daripada perniagaan penjagaan kesihatan di Sabah dan Sarawak akan menjejaskan perolehan syarikat, UEM Edgenta akan memberi tumpuan kepada usaha untuk mengekalkan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2016.

"Berikutan cabaran yang dialami dua daripada perniagaan syarikat, iaitu perundingan aset dan segmen penjagaan kesihatan, kami menjangkakan prestasi akan dapat dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Khamis.

Setakat ini, nilai perolehan kontrak syarikat sebanyak RM6 bilion.

Menurut laporan tahunan UEM Edgenta, syarikat itu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bagi hospital di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis dengan nilai sebanyak RM307 juta setahun.

Selain itu Azmir berkata UEM Edgenta merancang melabur RM22 juta bagi Pusat Kawalan untuk memanfaatkan 'Internet of Things' dalam usaha menambah baik perkhidmatan.

Syarikat itu juga berhasrat melabur dalam pusat penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan turapan dengan gred berbeza bagi kegunaan yang berlainan, termasuk turapan daripada bahan kitar semula.

Artikel Lain