suria

KWSP Jangka Umum Kadar Dividen Sama Bagi Akaun Syariah, Konvesional

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka pemegang akaun syariahnya yang akan dilancarkan tidak lama lagi menerima pulangan dividen yang sama seperti akaun konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata KWSP komited untuk menyediakan pulangan jangka panjang mampan dengan minimum 2.5 peratus dividen nominal setiap tahun atau dua peratus di atas kadar inflasi.  "KWSP berusaha untuk mencapai objektif strategik semasa bagi simpanan syariah walaupun tanpa jaminan minimum dividen nominal setiap tahun," katanya pada Forum Kewangan Islam Global 5.0 di sini, Khamis.

Dana patuh syariah sepenuhnya pertama itu akan dilancarkan pada Januari 2017.

Bulan lepas, Shahril Ridza dilaporkan berkata tidak ada sebarang jaminan pulangan dividen bagi akaun syariah, sejajar dengan prinsip syariah yang menganggap pulangan yang dijamin sebagai faedah.

Sebaliknya, pulangan bagi akaun syariah itu akan berasaskan kepada prestasi portfolio manakala akaun konvensional dijamin pada pulangan minimum 2.5 peratus setiap tahun.

Shahril Ridza juga berkata KWSP tidak akan memaksa pencarumnya untuk menukar akaun konvensional mereka kepada akaun patuh syariah.

"Kami akan biar mereka memutuskan sendiri apa yang terbaik bagi mereka dan akaun syariah terbuka pada semua, orang Islam mahupun bukan Islam," katanya.

Ketika ini, pelaburan patuh syariah menyumbang 45 peratus daripada jumlah pelaburan KWSP sebanyak RM295 bilion.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain