suria

MRT Corp Beri Kontrak RM10 Bilion Dalam Masa Enam Bulan

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan usaha pemberian kontrak Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang Putrajaya (SSP) bernilai RM10 bilion dapat dilakukan dalam masa enam bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pengumuman mengenai masing-masing dua pakej kerja-kerja awam dan pakej sistem berjumlah antara RM2.5 bilion dan RM3 bilion, akan dibuat dalam masa dua minggu ini.

"Pakej 210 bagi Laluan SSP yang melibatkan kerja-kerja sejauh 2.6 kilometer dari Putrajaya ke pusat bandar Cyberjaya, akan diberi dalam masa seminggu hingga dua minggu lagi.

"Dengan mengambil kira gabungan Pakej 203 dan Pakej 210, ini bermakna kita sudah memberi empat daripada 10 pakej berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian persefahaman bagi Program Usahawan Muda MRT dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, Rabu.

Menerusi program itu, MRT Corp, PUNB dan CIDB akan bekerjasama untuk melatih  60 graduan muda Bumiputera dan membantu mereka menubuhkan syarikat bagi bersaing mendapatkan kontrak MRT.

MRT baru-baru ini mengumumkan pelantikan TSR Capital Bhd, bagi kontrak Pakej DPT 203 bernilai RM90 juta melibatkan kerja-kerja tanah pembinaan Depot Serdang di bawah projek Laluan 2 MRT Sungai Buloh-Serdang.

Selain itu, Shahril berkata MRT berhasrat menyelesaikan pemberian kesemua kontrak utama di bawah projek SSP atau Laluan Kedua MRT itu dalam masa enam bulan.

Setakat ini, katanya, kontrak-kontrak bernilai hampir RM18 bilion sudah diberikan di bawah projek Laluan 2 yang mana anggaran kos pembinaan bagi laluan itu mencecah RM32 bilion, angka lebih tinggi berbanding Laluan 1 sebanyak RM23 bilion.

"Laluan 1 MRT itu kini siap sebanyak 84 peratus dan saya yakin fasa pertama dari Sungai Buloh ke stesen Semantan akan mula beroperasi pada Disember tahun ini," katanya.

Mengulas penyertaan Bumiputera dalam projek itu, Shahril berkata kontrak Laluan 2 MRT berjumlah sekurang-kurangnya RM25 juta sudah diserahkan kepada kontraktor Bumiputera yang disenaraikan di bawah kelas G1 hingga G4.

Malah, katanya, MRT Corp turut melepasi sasaran minimum penyertaan Bumiputera sebanyak 43 peratus yang ditetapkan kerajaan bagi projek Laluan 1 itu.

Jelasnya, penyertaan Bumiputera bagi projek berkenaan adalah sebanyak 48 peratus atau RM10.5 bilion daripada jumlah keseluruhan RM21 bilion.

Artikel Lain