suria

Malaysia Airlines, Farah Khan Kerjasama Hasilkan Seragam Baharu

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) pada Selasa mengumumkan pakatan strategiknya dengan jenama fesyen Farah Khan bagi menyuntik nafas baharu terhadap rekaan baju kebaya ikonik serta pakaian seragam kakitangan syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Koleksi baharu itu dijangka dapat dilancarkan pada suku keempat 2016 dan disusuli usaha pengeluaran selepas itu.

Kerjasama itu antara lainnya menyaksikan sentuhan Pengarah Kreatif gedung fesyen itu, Datuk Seri Farah Khan menghasilkan rekaan kesemua pakaian seragam pelbagai jabatan Malaysia Airlines termasuk anak kapal, petugas di lapangan terbang serta di bahagian kejuruteraannya.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Paul Simmon berkata pakaian seragam terutamanya baju kebaya, terbukti menjadi simbol ikonik serta sumber kebanggaan syarikat berkenaan sejak sekian lamanya.

"Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat merealisasikan koleksi baharu pakaian seragam yang bergaya namun ada fungsinya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Simmon, pakaian seragam baharu itu akan terus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia selain menandakan bermulanya episod transformasi MAB bagi semua pelanggannya.

Sementara itu, Farah pula menyifatkan pakaian MAB adalah rangkuman pelbagai sisi yang dikaguminya serta kalangan ahli kumpulannya manakala rekaan itu turut menjadi cetusan inspirasi mereka.

"Saya amat teruja dan gembira dengan kerjasama ini serta peluang untuk kami menghasilkan impak positif dari segi penampilan komprehensif anak kapal, petugas di bahagian perkhidmatan serta keseluruhan pasukan Malaysia Airlines," katanya.

Beliau turut berkongsi matlamatnya untuk mengetengahkan kemesraan, keanggunan dan hospitaliti Malaysia dalam rekaan berkenaan.

Sentuhan gaya Farah sememangnya dikenali di peringkat antarabangsa dan boleh diperolehi di lebih 70 bandar di serata dunia. - BERNAMA

Artikel Lain