suria

Daibochi Sedia Proses Tempahan Baharu Pasaran Australia, New Zealand

KUALA LUMPUR: Pembuat pembungkusan fleksibel, Daibochi Plastic  and  Packaging Industry Bhd, bersedia untuk memulakan pengeluaran tempahan baharu bagi pasaran Australia dan New Zealand pada suku kedua dan ketiga 2016.

Pengarah Urusan, Thomas Lim berkata firma itu berusaha untuk mengembangkan jualan eksport kepada 60 peratus daripada perolehan keseluruhannya pada masa depan berbanding 53 peratus bagi tahun kewangan 2015.

Ia adalah seiring dengan strategi syarikat untuk mengukuhkan jenama serta capaian pasaran serantau, katanya.

Beliau berkata syarikat itu turut memulakan fasa kedua perluasan kilang plastik kedua dan memperuntukkan RM13 juta perbelanjaan modal bagi jentera baharu dan kerja-kerja lain.

"Kapasiti pengeluaran yang ditingkatkan akan membolehkan syarikat menerima lebih banyak tempahan daripada pelanggan sedia ada serta menambah pelanggan multinasional kami," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Daibochi membuat pembungkusan yang fleksibel untuk pelanggan dalam sektor makanan dan minuman serta barangan pengguna laris.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2016, keuntungan bersih Daibochi meningkat 5.2 peratus kepada RM6.5 juta berbanding RM6.2 juta pada tempoh yang sama 2015 didorong jualan eksport yang kukuh.

Perolehan pula meningkat 4.1 peratus kepada RM89.7 juta berbanding RM86.2 juta.-- Bernama



Artikel Lain