suria

Samsung-AirAsia Bekerjasama Bawa Pengguna Galaxy Ke Bangkok Mei Ini

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan AirAsia Bhd untuk membawa pengguna Samsung Galaxy Life ke Bangkok, Thailand, Mei ini.

Menurut kenyataan Samsung, pengguna peranti Galaxy berkenaan perlu memuat turun aplikasi Galaxy Life melalui 'Galaxy Apps Samsung' atau 'Google Play Store' untuk menebus penerbangan pergi balik percuma itu melalui aplikasi berkenaan.

Naib Presiden Perniagaan Mudah Alih dan IT Samsung, Lee Jui Siang berkata kerjasama dengan AirAsia itu adalah usaha untuk memberi ganjaran kepada pelanggan atas sokongan mereka.

"Peminat dan pelanggan setia adalah paling utama kepada Samsung dan memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia lebih menggemari peluang untuk melancong dan membeli-belah, maka tiada pendekatan lain yang lebih baik untuk menggembirakan pelanggan yang layak kami," katanya.

Penerbangan pergi balik itu adalah terhad bagi tempoh penerbangan dari 14 hingga 16 Mei dan 21 hingga 23 Mei, 2016 untuk 500 pertama pengguna Galaxy Life.

Sebagai bonus, setiap mereka diberikan elaun bagasi 20 kilogram secara percuma.-- Bernama

Samsung, AirAsia, Galaxy Life

Artikel Lain