suria

MAHB Sasar 86 Juta Trafik Penumpang Bagi Operasi Malaysia Tahun Ini

SEPANG: Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengunjurkan trafik penumpang bagi operasi Malaysia mencatat 86 juta pergerakan tahun ini, meningkat 2.5 peratus daripada jumlah penumpang pada 2015.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata syarikat itu mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus pada akhir 2015, dan unjuran 2.5 peratus tersebut turut mengambil kira situasi yang berlaku dalam Malaysia Airlines.

"Kesan penstrukturan semula Malaysia Airlines ke atas MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi penurunan kira-kira 10.9 peratus dalam jumlah keseluruhan penumpang, namun (MAHB) turut disokong oleh syarikat penerbangan baharu yang dibawa masuk oleh kami," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan MAHB di sini, Rabu.

Beliau berkata unjuran itu akan turut dipacu oleh British Airways, All Nippon Airways dan Air China yang beroperasi semula tahun lepas.

Perkongsian kod antara Malaysia Airlines dan Emirates merupakan petunjuk positif untuk potensi permintaan berterusan bagi perjalanan udara, katanya.

Badlisham berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) turut mencatat pertumbuhan kukuh, serta lapangan terbang lain juga menunjukkan permintaan domestik yang memberangsangkan, begitu juga bagi trafik penerbangan tambang rendah.

Setakat Mac 2016, MAHB mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus tahun ke tahun, katanya.

Mengenai unit Petronas Dagangan Bhd, Kuala Lumpur Aviation Fuelling System Sdn Bhd (KAFS) yang menuntut RM456 juta dari MAHB, Badlisham berkata kes berkenaan masih dalam peringkat timbang tara.

Dalam laporan sebelum ini, KAFS, yang memegang tempoh konsesi selama 50 tahun untuk mengendalikan sistem pengisian bahan api penerbangan di KLIA, membuat tuntutan RM456 juta kepada MAHB, setelah tempoh berkenaan dipendekkan kepada 25 tahun.

Beliau berharap penyelesaian situasi sama menang antara kedua-dua pihak dapat dicapai, dengan menambah kontrak berkenaan akan tamat pada 2034 dan ketika ini perkara itu sedang dibincangkan dengan kerajaan.-- Bernama

MAHB, KLIA

Artikel Lain