suria

Prasarana Akan Buka Tender RM9 Bilion Untuk Projek LRT 3

Azmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd dijangka memulakan pemberian tender bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) yang bernilai RM9 bilion pada separuh kedua tahun ini (H2).

Pengarah Urusan Kumpulan, Azmi Abdul Aziz, berkata jumlah pakej yang bakal dianugerahkan masih belum diputuskan tetapi rencananya adalah untuk menawarkan sebanyak mungkin bagi menarik penyertaan yang signifikan.

"Kami akan bekerja keras untuk menyiapkan sistem dan reka bentuk kejuruteraan awam supaya kami boleh membuka tender. Kami menjangkakan tender itu  akan dianugerahkan sama ada dalam suku ketiga atau keempat," katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai Perhimpunan Persatuan Antarabangsa Pengangkutan Awam Asia Pasifik (UITP) ke-16 yang akan datang.

Beliau ketika bercakap mengenai kemajuan projek, berkata kerja-kerja awal telah bermula dan Prasarana akan menganjurkan sesi media tidak lama lagi bagi mengumumkan pemohon tender yang berjaya melepasi pusingan pra-kelayakan.

LRT 3 sejauh 37 kilometer panjang itu akan mempunyai 26 stesen, di mana, 2 kilometer jajarannya terletak di bawah tanah.

Prasarana komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kereta api tempatan dan ia mahu meningkatkan penumpang sebanyak dua peratus setahun, didorong oleh projek-projek sambungan LRT yang akan disiapkan.

Bagaimanapun, projek-projek sambungan yang masih berterusan ini telah menyebabkan beberapa gangguan ke atas perkhidmatannya.

"Saya ingin meminta maaf kepada orang ramai berikutan gangguan dalam aliran  Ampang dan Kelana Jaya disebabkan kerja-kerja menaik taraf kami," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perhimpunan UITP Asia Pasifik yang akan diadakan pada 17 hingga 18 Mei ini akan mengumpulkan lebih 300 peneraju utama  dalam industri pengangkutan awam di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara untuk membincangkan cabaran serta inisiatif baharu untuk meningkatkan perkhidmatan.

Perhimpunan yang bertemakan "On An Upwards Trajectory: The Journey  and  Growth of Public Transport in Asia-Pacific", dianjurkan secara bersama oleh UITP dan Prasarana.

Artikel Lain