suria

Hektar Reit Suntik RM20 Juta Tingkatkan Landmark Central

KUALA LUMPUR: Hektar Real Estate Investment (Hektar REIT) akan menyuntik RM20 juta pada tahun ini untuk meningkatkan Landmark Central di Kulim, Kedah.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada strateginya untuk meningkatkan keseluruhan ruang boleh disewa bersih (NLA) pusat beli-belah dalam portfolionya.

Hektar REIT menumpukan kepada pengurusan runcit pusat beli-belah dan ruang boleh disewa bersihnya pada masa ini berjumlah 1.8 juta kaki persegi.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn Bhd Datuk Jaafar Abdul Hamid berkata inisiatif pengurusan aset akan meningkatkan NLA pusat beli-belah kira-kira 20,000 kaki persegi.

Langkah itu akan menyediakan kedudukan tambahan kepada peruncit yang mahu menjadi sebahagian daripada jumlah penyewa yang semakin meningkat di Landmark Central, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Isnin.

"Penambahbaikan Landmark Central dijadualkan siap pada suku kedua 2017.

"Sejak penubuhannya pada 2012, Landmark Central muncul sebagai antara lima pusat beli-belah Hektar REIT paling berpotensi dari segi trajektori sewa yang meningkat," katanya.

Portfolio pusat beli-belah Hektar REIT adalah termasuk Subang Parade di Subang Jaya, Mahkota Parade di Melaka, Wetex Parade di Johor, Central Square di Kedah dan Landmark Central di Kedah.

Pada 31 Dis, 2015, Landmark mencatatkan pertumbuhan 2.4 peratus dari segi kadar kepenghuniannya, menghasilkan jumlah yang tinggi sebanyak 99.3 peratus berbanding 96.9 pada 2012.

Jaafar juga berkata kumpulan itu telah melaksanakan inisiatif membaik pulih dan strategi menambah nilai yang lain untuk portfolionya yang akan meningkatkan prestasi kewangan semua pusat beli-belahnya.

Kumpulan itu turut menyasarkan untuk membaik pulih Subang Parade, bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh masanya.

Subang Parade menyumbang antara 40 dan 50 peratus kepada pendapatan kumpulan, diikuti Mahkota Parade.

Pada 31 Dis, 2015, portfolio, bernilai RM1.09 bilion, mempunyai purata kepenghunian 96.6 peratus dan mencatat lebih 30.6 juta pengunjung.

Beliau juga berkata Hektar REIT akan terus mengkaji strategi dalaman dalam setiap pusat beli-belah untuk mengenal pasti peluang menambah nilai, selain mencari peluang pengambilalihan yang berpotensi.

Bagi tahun kewangan 2015, Hektar REIT mencatatkan perolehan kasar sebanyak  RM126 juta dan pendapatan hartanah bersih RM76.5 juta.

Artikel Lain