Maybank Sasar Jualan RM200 Juta Sempena MSAM 2016

Diterbitkan: Jumaat, 22 April 2016 7:02 PM

(Ubah saiz teks)

TAPAH: Maybank menyasarkan jualan sebanyak RM200 juta pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 yang berlangsung sehingga Khamis depan berbanding 115 juta pada MSAM 2015.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata pihaknya menjangkakan segmen pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bakal menjadi penyumbang terbesar dalam memenuhi sasaran tersebut. 

Selain ASB, katanya, Maybank juga menawarkan produk kad kredit yang merupakan antara produk yang menerima permohonan tinggi setiap tahun selain pembiayaan sewa beli.

Ditanya sama ada ketika ini merupakan waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti pelaburan memandangkan keadaan ekonomi negara yang masih tidak menentu, Abdul Farid berkata Maybank sentiasa memberi galakan kepada orang ramai untuk terus melabur dalam produk yang ditawarkan.

"Dari segi pelaburan, tidak ada istilah masa tertentu yang diperlukan untuk melabur. Setiap masa adalah masa terbaik untuk mula membuat pelaburan jadi tidak perlulah tunggu.

"Ini yang kita cuba lakukan di MSAM 2016 iaitu untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan melabur," katanya ketika ditemui di pameran MSAM 2016 di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, Maybank turut mempromosikan inovasi terbaharu penggunaan 'Quick Balance', selari dengan perubahan gaya hidup pelanggan khususnya melibatkan perbankan Internet yang lebih mudah dan pantas.

"Hanya telefon pintar yang menggunakan cap jari ciri-ciri keselamatan biometrik sahaja boleh mengakses penggunaan 'Quick Balance pada aplikasi Maybank2U (M2U) untuk mengetahui baki dalam akaun," katanya sambil menambah aplikasi itu mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

Sementara itu Abdul Farid berkata, Maybank akan menggandakan promosi kemudahan elektronik e-Duit Raya melalui Maybank2u bagi menggalakkan pelanggan memberi duit raya melalui saluran elektronik pada musim perayaan. 

Kemudahan tersebut yang buat kali pertama diperkenalkan pada Julai tahun lepas, sempena Hari Raya Aidilfitri, kurang mendapat sambutan disebabkan waktu promosi yang terhad.

Namun, katanya, pada perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, kemudahan tersebut mencatat penggunaan pelanggan yang memberangsangkan iaitu kira-kira 16,000 transaksi.

"Kemudahan elektronik e-Duit Raya bukan hanya sempena musim perayaan sahaja, malah jika kita tertinggal dompet dan memerlukan wang, kita hanya perlu meminta keluarga kita melakukan transaksi wang menerusi kemudahan itu dengan hanya menggunakan telefon bimbit sebelum pergi ke ATM berdekatan untuk mengeluarkan wang tanpa kad," katanya.

Beliau berkata ketika ini sudah ramai pelanggan bank itu yang menggunakan kemudahan elektronik perbankan tanpa tunai tersebut dengan purata 5,000 transaksi bulanan direkodkan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Maybank , MSAM , Abdul Farid Alias

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan