suria

Kerajaan Tarik 20 MNC Lagi Tubuh Hab Utama

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk membawa masuk 20 buah lagi syarikat multinasional (MNC) bagi mewujudkan hab utama mereka di  Malaysia pada tahun ini susulan pelaburan berjumlah RM7.31 bilion yang diperoleh daripada 12 MNC setakat ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata 12 MNC tersebut terlibat dalam sektor aeroangkasa, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, industri berasaskan sumber dan kejuruteraan.

Beliau berkata 20 buah MNC lagi sedang menunggu kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Ia merupakan kumpulan campuran MNC, syarikat kecil dan besar dari pelbagai sektor termasuk elektrik dan elektronik, minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Mustapa berkata hab utama itu akan membolehkan syarikat menyediakan pusat kepada pelanggan mereka melalui peluasan aktiviti pengedaran mereka yang lancar, selain tanggungjawab pengurusan yang lain.

Ini termasuk pembangunan keupayaan, pengurusan pelanggan, pengurusan tenaga kerja dan bentuk penghantaran dan pematuhan yang standard.

Skim itu, yang memberi kelonggaran pada lokasi di seluruh negara, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi selain memberi hasil pengeluaran yang lebih baik kepada MNC, dengan kecekapan yang lebih baik, menjimatkan kos dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja tidak mahir.

Terdahulu, Mustapa mengumumkan penubuhan hab utama oleh JCY Group, antara pengeluar komponen pemacu cakera keras yang terbesar di dunia, di Johor.

Berperanan sebagai pusat perolehan global kumpulan itu, hab utama mengawal fungsi rantaian bekalan yang sebelum ini dilaksanakan oleh entitinya di Singapura, Kepulauan British Virgin, Mauritius, Thailand dan China.

JCY, syarikat senaraian awam yang pertama menyertai inisiatif hab utama, mencatatkan perolehan sebanyak RM1.9 bilion pada tahun lepas, manakala permodalan pasaran semasanya bernilai RM1.4 bilion. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain