suria

Industri Kreatif Animasi Tempatan Catat Pertumbuhan Memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Sektor animasi kreatif tempatan negara mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM101 juta tahun lalu manakala nilai jualan tempatan mencecah RM127 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata industri animasi tempatan semakin mendapat tempat di pasaran luar apabila mencatat peningkatan sebanyak RM35 juta nilai eksport pada tahun sebelumnya iaitu RM66 juta manakala nilai jualan tempatan sebanyak RM137 juta pada tahun 2014.

"Setakat ini terdapat sebanyak 114 syarikat berstatus MSC Malaysia yang terlibat di dalam sub-sektor animasi sehingga 31 Dis 2015," katanya menjawab soalan Senator Datuk Norliza Abdul Rahim mengenai prospek industri animasi kreatif tempatan dan perancangan kerajaan dalam menjadikan filem-filem bercorak animasi sebagai satu produk yang boleh diketengahkan serta menjana punca pendapatan negara.

Salleh berkata kementerian melalui agensi di bawahnya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa memberi penekanan kepada program pembangunan industri animasi tempatan dan merencanakan pelan strategi pembangunan industri kreatif bermula pada tahun 2010.

"Kementerian melalui FINAS telah mewujudkan Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) bagi memajukan industri kreatif termasuklah industri animasi tempatan.

Dana ini turut bertujuan membantu pengusaha industri animasi tempatan menghasilkan produk animasi yang bernilai komersil dan mampu menjana pendapatan negara.

"Pada tahun 2015, sebanyak 10 buah projek animasi dengan peruntukan sebanyak RM10.3 juta di bawah DIKD telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi membantu penerbitan filem animasi negara," kata Salleh.

Menurutnya filem animasi tempatan juga telah menembusi pasaran antarabangsa dan diiktiraf dari segi kualiti penerbitannya, antaranya filem animasi BoBoiBoy yang baru ditayangkan pada 3 April 2016 dan telah berjaya mengutip jualan sebanyak RM16 juta dalam tempoh dua minggu tayangan dan turut ditayangkan di Indonesia pada 13 April lalu.

Jelasnya, beberapa contoh filem dan siri animasi tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa lain ialah seperti Upin dan Ipin dan Saladin.

Katanya kementerian melalui MDEC juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk memberi khidmat nasihat, promosi serta memperkenalkan dan menyelia penyertaan syarikat animasi tempatan di platform antarabangsa bagi membantu pemasaran produk animasi serta menggalakkan aktiviti penjanaan pendapatan melalui Harta Intelek (IP monetisation).

"Program seperti penjenamaan dan merchandising merupakan komponen penting yang perlu diperkenalkan dan diterap ke dalam sistem pembangunan industri kreatif tempatan.

"Pelaksanaan perniagaan dalam bidang merchandising (pembuatan permainan, pembuatan baju dan penjenamaan pakaian, taman permainan dan penjual 'image rights') akan menambahkan peluang-peluang perniagaan dan menjana pendapatan yang berterusan bagi sesebuah produk yang berjenama seperti filem animasi dan cereka," tambahnya.

Beliau turut memaklumkan tidak berlaku monopoli dalam syarikat animasi tempatan dan kerajaan sentiasa menggalakkan lebih banyak syarikat terlibat dalam industri yang mempunyai nilai komersil tinggi ini.

UpinIpin, Boboiboy

Artikel Lain