suria

Jakel Defence Sasar Pasaran Brunei Selepas Maldives

KUALA LUMPUR: Jakel Defence System Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Jakel Trading Sdn Bhd, mengintai pasaran tekstil bagi industri pertahanan Brunei dalam usaha melebarkan lagi sayap perniagaannya di arena antarabangsa.

Pengarah Pembangunan Peniagaannya Saiful Izhar Senawi berkata selain pakaian ketenteraan, syarikat itu berhasrat untuk membekalkan peralatan ketenteraan lain seperti topi hutan, baju hujan, beg galas dan rompi dalaman, ke pasaran Brunei.

"Panglima Tentera Brunei (Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Mohd Tawih Abdullah) telah melawat tapak pameran Jakel Defence pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2016 (DSA) semalam untuk melihat koleksi kami yang lain.

"Kami dapat maklum balas yang memberansangkan daripada beliau dan kami berharap dapat menyumbang kepada pembekalan ketenteraan untuk Brunei pula selepas ini," katanya kepada Bernama.

Saiful Izhar berkata tahun ini menyaksikan penyertaan kali ketiga Jakel Defence pada DSA berikutan prospek perniagaan yang tinggi dalam permintaan tekstil ketenteraan.

Katanya berbanding penyertaan DSA sebelum ini, syarikat itu mendapat sambutan yang lebih menggalakkan pada edisi 2016.

Selain Brunei, Jakel Defence turut menerima permintaan yang menggalakkan dari negara lain seperti Timor Leste, Sudan, dan Bosnia and Herzegovina.

"Mereka turut menunjukkan minat untuk menjalin usaha sama bagi membekalkan pakaian ketenteraan negara masing-masing," katanya.

Baru-baru ini, Saiful Izhar berkata Jakel Defence membekalkan pakaian ketenteraan tambahan sebanyak 2,000 unit kepada Kementerian Pertahanan Maldives yang sebelum ini telah membuat tempahan sebanyak 10,000 unit.

Jakel Defence menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan Maldives sejak tahun lalu dengan membekalkan pakaian ketenteraan berkualiti tinggi yang sesuai dengan persekitaran tropikal negara kepulauan itu.

"Teknologi yang diadaptasi oleh Jakel Defence memastikan pakaian itu sesuai untuk dipakai dan tidak mudah luntur warna meskipun terdedah kepada air laut.

"Pakaian tentera itu juga telah didigitalisasi dalam bentuk pixel yang  mampu menyukarkan pihak musuh mengesannya menggunakan google malam memandangkan peratusan penyamaran adalah lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Saiful Izhar berkata sehingga kini, Jakel Defence telah menandatangai kontrak bernilai RM136 juta dengan kerajaan Malaysia bagi membekalkan pakaian ketenteraan kepada Tentera Darat Malaysia.

Katanya Jakel Defence turut mereka pakaian tentera bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal dikenali sebagai 'No 4 Alpha' yang akan  diperkenalkan pada Ulang Tahun TUDM pada 1 Jun ini.

Dalam pada itu, Jakel Defence telah menyatakan hasrat kepada Polis Diraja Malaysia bagi menambah baik pakaian Pasukan Gerakan AM (PGA) yang telah diguna pakai hampir 15 tahun.

"Kita telah menghantar cadangan sampel baju celoreng kepada pasukan PGA yang dilihat memerlukan pembaharuan dari segi rekaan dan keselesaan anggota," tambah beliau.

Syarikat tekstil terkemuka Jakel, mula menceburi industri pertahanan pada  2008 menerusi Jakel Defence dengan memfokuskan penawaran produk yang dicipta khas menurut spesifikasi tertentu sesebuah negara.

Jakel, Brunei

Artikel Lain