suria

Pangsapuri Contoh Sentuhan Frank Gehry Kini Dibuka Di Battersea

KUALA LUMPUR: Pangsapuri contoh yang memaparkan kediaman hasil sentuhan firma seni bina terkemuka, Gehry Partners, kini dibuka di Battersea Power Station.

Gehry Partners yang juga antara pengamal seni bina paling inovatif dunia, bertanggungjawab merekabentuk kediaman, ruang komersial dan taman permainan kanak-kanak bagi Prospect Place, yang menjadi sebahagian High Street baharu di  Battersea Power Station berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company Ltd,  Rob Tincknell berkata orang ramai kini berpeluang mendekati Prospect Place yang juga projek kediaman pertama Gehry di United Kingdom.

"Semua yang terbabit berasa gembira kerana dapat mempamerkan hasil reka bentuk dan kepakaran oleh kumpulan seni bina contoh ini yang membawa inovasi bertaraf dunia ke London," katanya dalam satu kenyataan.

Reka bentuk oleh Gehry Partners itu merangkumi kelompok lima kediaman dengan setiap satunya memaparkan keunikan sentuhan seni bina diinspirasikan oleh deretan teres terkenal London, John Regency.

Pelantikan Gehry Partners yang juga kerjasama unik Foster + Partners, disifatkan sebagai antara aspek menarik bagi usaha pemugaran Battersea Power Station.

Malah, aspek ini kata Tincknell, hanya menegaskan lagi visi serta keyakinan yang dikongsi konsortium Malaysia iaitu S P Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi projek itu.

Kediaman Prospect Place ditawarkan pada harga serendah 1.311 juta seunit bagi pangsapuri dua bilik.

Maklumat lanjut di www.batterseapowerstation.co.uk-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain