suria

Mercedes-Benz Malaysia Rekodkan Jualan Suku Pertama Terbaik

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta yang berpangkalan di Jerman, Mercedes-Benz Malaysia telah merekodkan jualan kenderaan sebanyak 2,658 unit bagi suku pertama tahun ini, naik sebanyak 41 peratus berbanding dengan suku yang sama tahun lepas.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mark Raine berkata syarikat itu juga mencatatkan pencapaian baharu apabila menguasai bahagian pasaran sebanyak 2.3 peratus, peningkatan 0.5 peratus berbanding tahun sebelum ini.

"Kami telah berjaya mengekalkan kedudukan kami dalam segmen automotif premium di Malaysia dengan mencatatkan pertumbuhan yang sihat sebanyak 41 peratus dalam suku pertama 2016," kata Raine pada taklimat media mengenai keputusan pencapaian dan hasil suku pertama 2016 di sini, Khamis.

Segmen limusin keluaran tempatan seperti model C,E dan S-Class menyokong prestasi yang baik itu dengan mencatatkan pertumbuhan secara kolektif sebanyak 26 peratus atau 1,814 unit terjual.

"C-Class menguasai jumlah jualan dalam segmen ini dengan 1,359 unit, mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 871 peratus, manakala E dan S-Class, masing-masing terjual sebanyak 260 dan 195 unit," kata Raine.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dr Claus Weidner mengaitkan kejayaan tersebut dengan pembukaan Cycle  and  Carriage Bintang Autohauses yang sudah dibuat penambahbaikan, ia membawa identiti korporat terbaharunya dengan jumlah pelaburan sebanyak RM15.3 juta dalam suku pertama.

"Dalam tahun di mana Mercedes-Benz meraikan sambutan 130 Tahun Inovasi, Mercedes-Benz Malaysia memperbaharui komitmen kami kepada pasaran Malaysia dengan memberi tumpuan kepada titik sentuh pelanggan utama menerusi rangkaian pengedar kami.

"Kami juga akan terus menaik taraf pengedar sedia ada kami dan memberikan pelanggan dengan produk serta pengalaman terbaik," katanya.

Pada suku tahun 2016 akan datang, pembuat automotif itu dijangka melancarkan tiga model baharu, tiga versi baharu, dua varian enjin dan satu naik taraf, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Artikel Lain