suria

MDV, Teraju Lancar Dana RM100 Juta Patuh Syariah

KUALA LUMPUR: Unit milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), menjalin usaha sama dengan  Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk melancarkan Dana Teknologi Bumiputera (BTF), dana baharu patuh Syariah bernilai RM100 juta, untuk syarikat teknologi Bumiputera.

Langkah itu bertujuan memudahkan peluasan perniagaan syarikat menggunakan kemudahan pembiayaan aset dan modal kerja patut Syariah, kata MDV dalam satu kenyataan pada Khamis.

"BTF bermatlamat memastikan ekosistem pembiayaan yang lebih komprehensif untuk syarikat Bumiputera, terutama syarikat berasaskan teknologi yang disenarai dalam Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) Teraju, dan program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras)," kata Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat MDV, Nizam Mohamed Nadzri.

"Dana itu juga menyasarkan untuk memenuhi jurang pembiayaan yang wujud bagi syarikat permulaan di bawah Superb, sebagai program pembiayaan susulan kepada geran yang diterima daripada Teraju," katanya.

Selain meningkatkan akses kepada pembiayaan terutama bagi syarikat dalam sektor teknologi, dana berlandaskan Syariah itu juga bermatlamat memenuhi permintaan pelanggan untuk memperoleh kemudahan Islam yang pelbagai, katanya.

"Kemudahan pembiayaan yang ditawarkan adalah dalam bentuk minimum RM500,000 hingga maksimum RM5 juta," katanya.

Untuk layak menerima pembiayaan menerusi program BTF itu, syarikat Teras dan Superb mesti diperbadankan di Malaysia dengan modal berbayar minimum RM100,000 dan memiliki projek yang baik dan berdaya maju dalam sektor teknologi.

Semua pemohon menerusi pembiayaan dana itu tertakluk kepada kriteria risiko kredit MDV selain proses penilaian risiko ke arah pembiayaan syarikat dan projek teknologi.

Artikel Lain