suria

Weststar Akan Pasang CKD G10 MPV Bagi Pasaran Asean Menjelang 2017

KUALA LUMPUR: Weststar Group merancang memulakan pengeluaran kereta unit terurai untuk dipasang (CKD) model Maxus G10 MPV bagi pasaran Asean menjelang 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata syarikat itu akan mengeluarkan model G10 MPV menerusi pemasang kereta berkontraknya di Selangor.

"Selepas Malaysia, Indonesia akan menjadi negara Asean seterusnya yang akan mendapat Maxus G10 MPV kami. 

"Kami merancang menjual 12,000 unit di sana bermula tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan model Maxus G10 MPV, di sini, Rabu. 

Ketika ini, kereta unit siap dipasang sepenuhnya (CBU) model Maxus G10 MPV diimport dari Shanghai, China.

Weststar Group menyasar menjual antara 500 dan 1,000 unit model Maxus G10 MPV di Malaysia tahun ini, kata Syed Azman, sambil menambah, setakat ini syarikat itu telah menerima 200 unit tempahan. 

"Kami yakin model itu akan menjadi pilihan premium keluarga dalam segmen ini," katanya. 

Warisan British MPV G10 itu merupakan kenderaan dengan 10 tempat duduk, dikuasakan enjin TGI 2.0 liter dengan 225 kuasa kuda dan tork 345m.

Sementara itu, Syed Azman berkata Weststar Group berharap dapat merebut bahagian pasaran sebanyak 10 peratus daripada segmen MPV di negara ini.

Secara purata, 40,000 unit daripada MPV dijual setahun, katanya.

Beliau juga berkata kumpulan itu merancang untuk meningkatkan perolehan perniagaan automotif kepada 50 peratus daripada 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perolehan kumpulan disumbang terutamanya daripada penerbangan, diikuti pertahanan dan automotif.

Weststar Maxus, sebahagian daripada kumpulan itu, mendapat hak pengedaran tunggal Maxus bagi rantau Asia Pasifik daripada Shanghai Automotive Industry Corporation.

Syed Azman berkata kumpulan itu merancang untuk menyenaraikan perniagaan penerbangannya di Bursa Malaysia pada suku ketiga tahun ini.

"Kami merancang untuk tawaran awam permulan tahun lepas tetapi ditangguhkan berikutan keadaan pasaran yang lemah. Mungkin kami akan laksanakan pada tahun ini," katanya.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain