Thunder Match Sasar Perolehan RM1 Juta Daripada Peranti Baharu Pada Suku Kedua

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 4:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Thunder Match Technology Sdn Bhd (TMT), kedai rangkaian teknologi maklumat (IT) tempatan utama, menjangka peranti baharunya, tablet 2-dalam-1 Stom Spectrum i100 dan Stom Personal Computer (PC) stick, menyumbang perolehan sebanyak RM1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2016.

Tablet dan PC stick, inovasi yang dihasilkan oleh Thunder Match, Microsoft Malaysia dan Intel Malaysia  and  Singapura, direka untuk memberi pengalaman pengkomputeran baharu dan menukar skrin besar kepada komputer bersaiz penuh.

"Kelebihan utama kami ialah kami mempunyai 93 rangkaian di seluruh negara, dan dengan golongan muda dan pelajar yang celik IT sebagai pasaran sasaran kami, kami percaya sasaran itu dapat dicapai," kata Pengarah Urusan Thunder Match  Adrian Yu kepada pemberita selepas pelancaran peranti itu di sini, Selasa.

Beliau berkata pemprosesan Windows 10 dan Intel Atom 1.33GHz, yang menjalankan lebih 270 juta peranti di seluruh dunia, membolehkan i100 menawarkan pelbagai aplikasi universal serba baharu seperti Neflix, YouTube dan Microsoft Office 365.

Yu berkata kedua-dua peranti itu boleh didapati di semua kedai Thunder Match di seluruh negara dan kedai dalam talian Microsoft di Lazada.com.my dan TMT Online, pada harga RM1,099 (i100 tablet) dan RM599 (PC stick), dan setiap satu mempunyai jaminan selama setahun.

Mengenai prospek, Thunder Match berkata ia menjangka perolehannya meningkat kepada RM500 juta pada tahun ini berbanding RM420 juta pada 2015, didorong oleh pengembangan perniagaan yang berterusan di seluruh negara dan pengenalan produk baharu.

"Kami akan mewujudkan dua buah lagi rangkaian, iaitu di Terengganu dan Kelantan, dengan perbelanjaan modal antara RM200,000 dan RM1 juta pada akhir tahun ini.

"Kita telah mempunyai rangkaian di KB Mall, manakala Terengganu, merupakan satu-satunya negeri yang kita belum masuk," katanya.

Beliau berkata tiada rancangan untuk memperluaskan ke luar negara pada masa ini dengan syarikat menumpukan kepada platform dalam talian sedang pesat membangun, perolehan diunjurkan meningkat kepada RM25 juta pada tahun ini berbanding RM12 juta pada tahun lepas.

Sejak penubuhannya pada 1997, perniagaan Thunder Match berkembang dengan pesat daripada hanya empat buah kedai pada 2002 kepada 93 buah kedai di seluruh negara pada masa ini.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan