suria

Mah Sing Jangka Kekal Jualan RM2.3 Bilion

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd menjangka untuk mengekalkan sasaran jualan tahun lepas sebanyak RM2.3 bilion bagi 2016, didorong oleh projek yang sedang dilaksanakan.

Pemaju hartanah itu pada masa ini mempunyai 35 projek dalam tangan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM32.85 bilion untuk tempoh lapan tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata kumpulan telah mencapai sasaran jualan yang menggalakkan sebanyak RM2.3 bilion pada 2015.

"Kami dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran jualan 2016 kami dengan pelbagai produk terletak di lokasi utama dan harga yang menarik," katanya pada taklimat media pada Invest Malaysia 2016 di sini, Selasa.

Beliau berkata kumpulan telah mencapai jualan sebanyak RM408 juta sehingga 31 Mac tahun ini walaupun tempoh bekerja yang pendek pada suku pertama 2016 disebabkan musim perayaan.

Leong turut menjangka pasaran hartanah meningkat pada separuh kedua 2016.

Projek yang sedang dilaksanakan Mah Sing terletak di Greater KL dan Lembah Klang yang dijangka menyumbang 69 peratus kepada jualan pada tahun ini.

Johor dijangka menyumbang 21 peratus diikuti Pulau Pinang sebanyak sembilan peratus dan Sabah, satu peratus.

Pelancaran kediaman yang dirancang kumpulan itu pada 2016 terletak di Greater KL, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Iskandar Malaysia, serta Johor Baharu.

"Mengekalkan strategi kami untuk menyediakan rumah mampu milik kepada segmen pasaran yang besar, 89 peratus daripada pelancaran kediaman yang dirancang kumpulan pada tahun ini akan berharga di bawah RM1 juta, dengan 68 peratus di bawah RM700,000 dan 50 peratus di bawah RM500,000," katanya.

Leong berkata Mah Sing akan terus mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh untuk pengambilalihan tanah dan menangani ketidaktentuan.

Baki simpanan tanah kumpulan itu yang bernilai RM28.1 bilion terdiri daripada pembangunan kediaman, komersial, industri dan pembangunan bercampur.

Artikel Lain