Axiata Selesai Pengambilalihan Dalam Ncell

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 12:57 PM

Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menembusi pasaran telekomunikasi Nepal, Axiata Group Bhd kini menunggu untuk bekerja bersama-sama kerajaan Nepal bagi mengawal selia dan meningkatkan lagi kualiti teknologi dan perhubungan di negara berkenaan.

Syarikat telekomunikasi itu hari ini mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan pengambilalihan Ncell Private Limited atau Ncell, operator mudah alih nombor satu di Nepal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata gabungan unik pegangan kawalan ke atas penggiat nombor satu yang diurus dengan baik itu dalam pasaran yang berkembang sihat, menyediakan Axiata peluang peluasan yang kukuh.

"Menerusi penambahan Ncell dalam rangkaian operator mudah alih Axiata, merupakan satu lagi kejayaan kumpulan itu dari segi menyepadukan pegangan padu kami di kawasan Asia Selatan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata tindakan utama Axiata kini adalah untuk menawarkan data berkelajuan tinggi dan produk dan perkhidmatan yang menarik untuk memenuhi permintaan pelanggan muda dan matang dalam pasaran Nepal.

Beliau juga berkata sempena kemasukan Axiata dalam pasaran Nepal, kumpulan itu akan melancarkan dua produk edisi khas suara dan perayauan untuk pelanggan Ncell, yang dikenali sebagai Axiata Roam dan Call Ayo Paisa Payo.

Axiata Roam adalah perkhidmatan perayauan seluruh kumpulan, menawarkan harga diskaun kepada pelanggan Ncell yang mengunjungi negara liputan Axiata dan kemudahan perayauan dengan syarikat operasi dan rakan kongsi.

Sementara itu, Call Ayo Paisa Payo pula akan membolehkan pelanggan Ncell menerima baki bonus menarik apabila menerima panggilan dari Malaysia, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk tempoh lebih daripada lima minit.

Melalui unitnya, Axiata Investments (UK) Ltd, Axiata menyelesaikan  pengambilalihan daripada TeliaSonera UTA Holdings BV (TeliaSonera) dan SEA Telecom Investments BV Reynolds Holdings Limited (Reynolds).

Pengambilalihan Reynolds pada harga pembelian US$1.365 bilion ditambah pelarasan pada penutupan, membolehkan Axiata memperoleh 80 peratus kepentingan ekuiti dan kepentingan kawalan dalam Ncell.

Pada 10.55 pagi, saham Axiata naik satu sen kepada RM5.82 dengan 316,700 saham bertukar tangan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan