suria

Sektor Pembinaan Dijangka Berkembang 8 Hingga 10 Peratus

Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan dijangka berkembang antara lapan dan 10 peratus tahun ini berbanding 8.2 peratus pada 2015, dengan dipacu oleh projek berkaitan kerajaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata projek seperti 'Greater Kuala Lumpur', transit aliran ringan, transit aliran berkapasiti tinggi, serta lebuh raya baharu termasuk Lebuhraya Pan Borneo, akan memberikan potensi pertumbuhan besar-besaran bagi industri berkenaan dan ekonomi negara.

"Berdasarkan (projek) yang dirancang di bawah sektor awam dan beberapa projek perumahan, kita sewajarnya mampu untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia kali ketujuh di sini, Isnin.

Terdahulu, Fadillah berkata, industri pembinaan di Malaysia perlu menangani isu kelestarian dan pembinaan hijau dalam usaha untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sosial bagi memastikan pemeliharaan alam sekitar.

"Memandangkan timbul kebimbangan terhadap kemerosotan alam sekitar, penggiat industri perlu bertindak secara bersepadu dan meneliti semula pendekatan pembangunan yang mereka gunakan dalam projek masing-masing," katanya.

Beliau menggesa penggiat industri berubah ke arah penjenteraan dan pengautomatan yang lebih besar dengan dipacu oleh teknologi maklumat termasuk kaedah pengeluaran alternatif, Sistem Binaan Berindustri (IBS).

"Memandangkan kita menuju ke arah Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, daya saing yang dicapai melalui penggunaan tenaga buruh dan sumber kos rendah tidak lagi boleh bertahan.

"Kita tidak boleh lagi terus bersaing dari segi kos semata-mata, tetapi kita juga mesti mencapai pertumbuhan produktiviti dan berusaha untuk memperoleh penguasaan pasaran berdasarkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, daya inovatif, kreativiti dan keusahawanan," kata Fadillah.

Beliau berkata, di sebalik kelebihannya, penggunaan IBS bagaimanapun tidak meluas disebabkan, antara lain, persepsi negatif dan kekurangan kesedaran serta kesediaan dalam kalangan penggiat industri.

IBS merupakan satu teknik pembinaan di mana komponen dihasilkan dalam persekitaran yang terkawal, sama ada di dalam atau di luar tapak, sebelum dipasang menjadi struktur dengan kerja-kerja tapak tambahan yang minima.

Kaedah itu, antara lain, membolehkan penggiat industri lebih bergantung kepada jentera dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti selain ia lebih mesra alam.

Kerajaan telah mewajibkan semua projek kerajaan dengan kos RM10 juta dan ke atas perlu mengandungi sekurang-kurangnya skor IBS 70, manakala sektor swasta perlu menggunakan kaedah itu dalam projek bernilai RM50 juta dan ke atas.

Artikel Lain