suria

Legoland Malaysia Unjur Jumlah Pengunjung Meningkat

PETALING JAYA: Legoland pertama di Asia, Legoland Malaysia Resort, menjangka jumlah pengunjung akan melebihi tahun lepas, kata Pengarah Jualan dan Pemasaran, Thila Munusamy.

Beliau berkata taman tema keluarga itu telah merancang pelbagai aktiviti  menarik dengan perkongsian bersama Lego Group.

"Banyak perkara yang kami lakukan, seperti mengadakan tarikan inovatif untuk menggalakkan pengunjung domestik dan antarabangsa untuk datang lagi," katanya pada sidang akhbar mengenai program 'Master Your Force This May' di sini, Jumaat.

Beliau berkata Legoland Malaysia juga akan mengadakan pertandingan untuk menarik pengunjung serantau bukan sahaja untuk melawat taman tema berkenaan tetapi juga Malaysia.

Sepanjang Mei 2016, peminat Star Wars dan Lego di seluruh dunia akan dapat melihat pelbagai perkara berkaitan Star Wars di Legoland Malaysia, yang terletak di Iskandar Puteri, Johor.

"Peminat juga boleh mengambil bahagian dalam acara-acara bertemakan Star Wars, seperti Master Builder of the Millennium Falcon di mana pasukan Lego Master Builder akan membina kapal angkasa ikonik menggunakan lebih 200,000 bongkah blok," katanya.

Terdapat juga pertandingan seperti 'Build Your Own Dream Lego Star Wars Starship', bermula 21 April hingga 8 Mei, yang akan dijalankan melalui media sosial di mana para peserta perlu memuat naik gambar kapal Star Wars Lego mereka  di laman Facebook Legoland Malaysia Resorts, katanya.

Beliau berkata di bawah peraduan semasa 'My Own Creation', 99 pemenang akan mempamerkan ciptaan adegan Star Wars mereka dengan Lego di taman sehingga 31 Mei.

Sementara itu, beliau berkata, Legoland Malaysia Resort yakin kenaikan bayaran fi oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) baru-baru ini tidak akan memberi kesan kepada jumlah pengunjung yang datang ke taman tema tahun ini.

Beliau berkata kebanyakan pengunjung Legoland biasanya dari Malaysia, Singapura dan negara-negara Asean lain serta Hong Kong dan Taiwan.-- Bernama


Legoland, Asia, Thila Munusamy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain