suria

ConnectCounty Dapat Kelulusan Labur 20 Juta

Ang Chuang Juay

KUALA LUMPUR: ConnectCounty Holdings Bhd menerima kelulusan pemegang saham untuk melabur RM20 juta bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran sebuah kilang di China milik unitnya, RapidConn (Shen Zhen) Co Ltd.

Pengarah Eksekutifnya, Ang Chuang Juay, berkata dana untuk mengembangkan kilang itu yang mengeluarkan pemasangan kabel, abah-abah wayar, kabel Universal Serial Bus (USB), kabel audio dan video, akan disumbang daripada cadangan terbitan hak oleh syarikat itu.

"Syarikat merancang menerbitkan 800.99 juta saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus baharu (ICPS) pada 2.5 sen pada Khamis.

"Ini akan diterbitkan sejajar dengan sehingga 53.40 juta waran boleh pisah percuma bagi asas satu waran-B percuma bagi setiap 15 ICPS yang dilanggan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat, di sini, Jumaat.

Beliau berkata ICPS, apabila dilaksanakan sepenuhnya, dijangka mengumpulkan jumlah hasil tunai bersih sehingga RM20.03 juta dan akan dapat menambah baik dengan segera aset semasa bersih dan paras tahap kadar hutang kumpulan.

Ang berkata industri saling sambung berkembang dengan pesat sejajar dengan kemajuan berterusan pembangunan produk baharu dalam pasaran produk akhir.

"Justeru, syarikat berkedudukan baik untuk memanfaatkan aliran meningkat ini hasil daripada pengalaman, kepakaran dan kemajuan positif yang dicatatkannya untuk mengembangkan kapasiti ketika menembusi industri pasaran baharu," katanya.

Beliau berkata kumpulan akan menumpukan kepada menjual produknya, seperti kabel USB dan kabel antara muka multimedia definisi tinggi yang digunakan dalam pasaran hiburan rumah yang membentuk 70 peratus daripada perniagaannya.

"Ia juga akan menumpukan untuk menjual produknya, terutamanya, barangan elektrik isi rumah, kepada pasaran kereta dan telekomunikasi," kata Ang.

ConnectCounty kembali meraih keuntungan dalam tahun kewangan 2015 dengan keuntungan sebelum cukai RM2.76 juta di atas sokongan pendapatan RM64.86 juta juta.

Pada rehat tengah hari, harga sahamnya tidak berubah pada 14.5 sen.

Artikel Berikut

Ikea JB Mula Ambil Pekerja

Artikel Lain