suria

Aries Telcoms Bawa Kelajuan Internet 1Gbps

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menerima momento daripada Pengerusi Aries Telecoms (M) Berhad, Datuk Zuraidi Rahim (dua, kanan) sambil disaksikan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Halim Ali (kiri) selepas melancarkan Aries Infinity iaitu teknologi jalur lebar IPv6 terpantas di rantau ini pada Khamis. Turut hadir Pengarah Setia Haruman Technology Sdn Bhd, Farah Mahami Mustapha Kamal (dua, kiri) dan Pengarah Eksekutif Aries Telecoms (M) Berhad, Roslina Ibrahim (kanan). Aries Infinity menyediakan kelajuan internet sehingga 1,000 Mbps atau 1 Gbps. -- Bernama

CYBERJAYA: Aries Telecoms (M) Bhd (Aries Telecom) telah melancarkan Aries Infinity, teknologi Protokol Internet versi 6 (IPv6) terpantas di rantau ini, yang menawarkan kelajuan Internet sehingga satu gigabit (Gbps) sesaat kepada pengguna perniagaan.

Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim berkata, Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia dan yang pertama di rantau ini dihubungkan dengan teknologi seperti itu.

Dengan pelaburan RM1 bilion, beliau berkata, teknologi kelajuan tinggi, iaitu kerjasama di antara Aries Telecom dan Setia Haruman Technology Sdn Bhd, kini boleh diperoleh semua pemilik perniagaan yang tinggal di Cyberjaya.

"Kerjasama itu adalah melalui liputan terluas infrastruktur gentian optik di  Cyberjaya yang telah dipasang Setia Haruman, yang meliputi hampir semua bangunan di perbandaran berkenaan.

"Aries Infinity ialah jalur lebar berkelajuan ultra tinggi yang direka untuk menepati keperluan pelanggan, termasuk pembawa wayarles dan berwayar, syarikat media, penyedia perkhidmatan Internet, jabatan kerajaan dan perusahaan besar," katanya kepada pemberita selepas pelancaran IPv6 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Khamis.

Zuraidi berkata, Aries Infinity menawarkan kesambungan lengkap IPv6 membolehkan aplikasi 'rakan sebaya ke rakan sebaya' untuk bekerja lebih berkesan dan cekap.

"Ketika ini ia adalah satu-satunya jalur lebar perniagaan yang menawarkan kelajuan sehingga 1 Gbps dengan IPv6 dan memberi pengguna akses kepada lebih satu juta alamat Protokol Internet," katanya.

Zuraidi berkata, Aries Telecom berharap untuk mengembangkan Aries Infinity ke hab perniagaan lain di Lembah Klang dan bandar besar lain di negara ini.

"Dalam empoh enam bulan, kami akan mula melancarkannya di bandar utama di Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Zuraidi brkata, jalur lebar perniagaan 1Gbps boleh diperoleh di Cyberjaya serta Cyberjaya Resort  and  Spa untuk percubaan secara percuma selama sebulan mulai hari ini. Jalur lebar itu boleh dilanggan dengan bayaran RM5,000 sebulan.

Aries Telecoms dilesenkan kerajaan sebagai syarikat telekomunikasi rangkaian talian tetap dan penyedia perkhidmatan infrastruktur jalur lebar borong serantau.

Artikel Sebelum

Ikea JB Mula Ambil Pekerja

Artikel Lain