suria

Syarikat China Labur Lebih RM13 Bilion Di Malaysia Sejak 2009

KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung asing dari China dalam sektor perkilangan dari 2009 sehingga 2015 berjumlah RM13.6 bilion, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Isnin.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, pelaburan berkenaan melibatkan 143 projek dan dijangka menjana 24,786 peluang pekerjaan. 

Menjawab soalan Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam) pada sesi soal jawab, beliau berkata sebahagian besar pelaburan itu kini dalam proses pelaksanaan.

Katanya, daripada jumlah pelaburan itu, industri barangan logam asas menerima pelaburan lansung asing tertinggi iaitu RM8 bilion, diikuti dengan industri barangan elektronik dan elektrikal (RM3.5 bilion) dan barangan galian bukan logam (RM738 juta).

Industri tekstil dan barangan tekstil dan barangan logam dibentuk pula masing-masing menerima pelaburan sebanyak RM556 juta RM157 juta.

Beliau berkata terdapat 20 syarikat China yang mempunyai pelaburan di Malaysia antaranya Comtec Solar International (M) Sdn Bhd, Jinko Solar Technology Sdn Bhd, Kaifa Technology Malaysia Sdn Bhd, Megatrax Plastic Industries Sdn Bhd dan Mansion Machinery Sdn Bhd. 

Selain itu, sebanyak 10 syarikat utama Malaysia di China melabur berjumlah RM24.36 bilion antaranya Enersave Group, Genting Group, Sunway Global Ltd., Lion Group, MTD Capital Bhd, Sime Darby, Taliworks Corporation Berhad dan Unisem (M) Berhad. 

"Prestasi pelaburan China adalah memberangsangkan. Pada tahun 2009, jumlah pelaburan dari China sebanyak RM164 juta sahaja dan telah meningkat kepada RM4.75 bilion pada 2014," kata Ahmad Maslan.

Beliau berkata pelaburan dari China yang berjumlah RM1.87 bilion pada 2015 menunjukkan keyakinan pelabur China terhadap kestabilan ekonomi Malaysia meskipun kedudukan nilai matawang Amerika Syarikat, harga komoditi dan harga mentah pada tahun itu telah menjejaskan ekonomi dunia.-- Bernama





China, Ahmad Maslan

Artikel Lain